Malaysiakini melaporkan bahawa Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata beliau tidak lagi kisah mengenai siapa calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebaliknya, anggota Parlimen Ampang itu berkata beliau kini menumpukan usaha untuk memastikan gabungan parti pembangkang itu mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Sekarang kita akan terus buat kerja untuk menang. It doesn’t matter now who is PM (tidak kisah sekarang siapa jadi PM),” katanya pada sidang akhbar di Ampang, Selangor malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan terhadap langkah HARAPAN menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Ditanya siapa yang beliau lebih gemar dipilih sebagai perdana menteri, beliau mengulangi pendirian bahawa jawatan itu sepatutnya diisi oleh seorang calon yang lebih muda.

Ketika ditanya lanjut mengenai saranan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mahu PKR Selangor menamakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebagai pilihan utama mereka, Zuraida berkata usul itu tidak akan berjaya.

“Proses pemilihan nama dan sebagainya itu adalah mengikut majoriti. Kita ada empat parti jadi kalau tiga lawan satu ke tak bolehlah kita letak nama sekalipun, tak akan dapat penerimaan,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here