Saturday, June 23, 2018
Home News Zulfadli Tolak Tawaran BAM Lagi

Zulfadli Tolak Tawaran BAM Lagi

0
233

Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli sekali lagi menolak tawaran untuk meneruskan kariernya di bawah naungan Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM) walaupun sudah beberapa kali dipujuk.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail semalam selepas menerima kata putus daripada Zulfadli menerusi bapa yang juga jurulatihnya, Zulkiffli Sidek.

Khamis lalu, Ahmad Shapawi mengadakan perbincangan bersama Zulfadli serta keluarganya bagi bertanyakan sama ada juara remaja Asia 2011 itu berminat untuk menyertai skuad kebangsaan.

Jelas sekali, juara remaja Asia 2011 itu lebih berminat untuk meneruskan sistem latihan yang dimilikinya.

Ahmad Shapawi memberitahu, pemain berusia 22 tahun itu tidak mahu mengikut sistem latihan yang ada dalam badan induk badminton negara, sebaliknya mahu bergerak sendiri bagi merealisasikan hasrat beraksi pada Sukan Olimpik 2016.

“Semalam (kelmarin) bapanya menghubungi saya dan memberitahu bahawa Zulfadli tidak menerima cadangan itu kerana mereka memiliki program khusus untuk melayakkan pemain itu ke Sukan Olimpik di Rio.

“Mereka mahu meneruskan program latihan mereka dan berpendapat bahawa program itu sudah berlangsung separuh jalan, jadi mereka mahu habiskan dahulu program itu dan melihat hasilnya.

“Kami menerima pendirian mereka dan selepas ini tidak akan ada sebarang perbincangan lanjut me­ngenai perkara itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Jalil, di sini semalam.

Bagaimanapun, keputusan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini, pemain kelahiran Los Angeles itu pernah menolak tawaran menyertai BAM sejurus selepas muncul juara remaja dunia.

Pendirian pemain itu dilihat bakal memberi kesan kurang baik terhadap perkembangan kariernya kerana pada ketika ini dia hanya berada di ranking ke-36 dan masih belum mencipta sebarang kejayaan di pentas antarabangsa.

Berbeza dengan naib juara remaja dunia 2011, Viktor Axelsen, pencapaian pemain berusia 21 tahun dari Denmark itu jauh lebih memberangsangkan.

Axelsen kini menghuni ranking keenam dunia selain berjaya menjadi juara Grand Prix Emas Terbuka Switzerland 2014 dan naib juara Siri Super Terbuka Australia tahun ini.

Kento Momota, 21, dari Jepun kini menduduki ranking ketiga dunia dan antara pencapaian terbaiknya ialah muncul juara Siri Super Terbuka Indonesia dan Siri Super Terbuka Singapura pada tahun ini, selain berjaya ke separuh akhir Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, Ahmad Shapawi berkata, keputusan itu tidak membawa maksud peluang untuk Zulfadli menyertai BAM tertutup sepenuhnya.

“Saya rasa tidak adil untuk kita tutup sepenuhnya peluang kepadanya.

“Jika pada masa akan datang dia berminat sertai BAM, masih ada lagi peluang,” katanya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here