KUALA LUMPUR – Spekulasi Zulfadli Zulkiffli bakal menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin terjawab hari ini apabila pemain berkenaan bakal mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pertemuan itu diadakan susulan saranan Khairy sendiri untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dengan mengadakan perbincangan bersama MSN seterusnya menyerap Zulfadli ke dalam BAM yang dilihat medan terbaik buat pemain berkenaan mengembangkan bakatnya.

Malah Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga berharap MSN berupaya mempengaruhi pemain berusia 22 tahun itu menyertai BAM seperti disuarakan beberapa pihak sebelum ini, termasuk Datuk Lee Chong Wei.

”Pertama sekali, Zulfadli harus sedar jika betul-betul serius mahu menjadi pemain pelapis seterusnya pengganti kepada Chong Wei pada masa akan datang, dia harus bersama-sama BAM,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, jika pemain berkenaan menyertai BAM, segala keperluan dan kemudahan sudah tersedia.

“Saya harapkan pertemuan esok (hari ini) akan berjalan lancar kerana sekarang ini, ‘bola berada di gelanggang mereka’ (kata putus). ISN, BAM, Menteri dan Chong Wei sudah memberi pandangan dia harus ke BAM.

“Jarang kita melihat situasi seorang pemain diajak dan dipujuk organisasi atau pemimpin untuk menyertai badan induk sukan,” kata Norza yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

Sebelum ini, Khairy menegaskan sudah tiba masanya bekas juara remaja dunia 2011 itu digilap bakatnya oleh BAM dan menganggap pemain bebas itu perlu meneruskan kesinambungan Chong Wei di pentas antarabangsa.

Chong Wei juga menasihatkan Zulfadli supaya tidak berdegil dengan menyertai BAM supaya tahap permainan pemain muda itu berubah.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here