PENYANYI  Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 47, jarang berkongsi gambar keluarga bagi menghormati privasi mereka. Ziana berpendapat media sosial penting untuk mendekati peminatnya namun perlu ada batasan antara kerjaya dan hal peribadi.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, selain ingin menjaga privasi keluarganya, faktor keselamatan juga menjadi antara aspek yang perlu dititik beratkan.

“Anak-anak saya, terutamanya anak lelaki enggan wajah mereka dikongsikan di akaun Instagram saya. Namun, ada pengecualian dan saya minta izin untuk memuat naik foto keluarga ketika sambutan Syawal.

“Berbeza pula dengan anak perempuan yang sering minta saya memuat naik gambarnya. Lain anak lain perangainya.

“Tidak dinafikan media sosial adalah penting tetapi tidak semua perlu dikongsikan di laman sosial. Terlalu banyak perkongsian juga boleh memudaratkan,” katanya.

Mengulas mengenai imej bertudung selebriti wanita yang sering dikritik peminat, Ziana menyifatkan kritikan itu adalah lumrah yang perlu diterima bagi seseorang selebriti sepertinya dan menerima komen-komen yang diberikan dengan hati terbuka.

“Saya sebenarnya tidak ambil pusing mengenai perkara itu kerana dalam dunia artis ini orang akan mengata dan memuji.

“Setiap manusia mempunyai pandangan sendiri untuk memberi pendapat tetapi kadang-kadang orang yang memberi pandangan itu melihat seolah-olah diri mereka sempurna. Kadang kala kata-kata yang dilemparkan itu begitu kasar,” kata Ziana.

Ziana ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk kesihatan Agetech menzahirkan rasa terujanya dengan keberkesanan produk itu.

“Seperti semua sedia maklum, saya adalah seorang yang cerewet dan begitu mengutamakan kesihatan. Saya menjadi tikus makmal dan mencuba sendiri produk Agetech bagi memastikan ia benar-benar berkesan.

“Setelah dua bulan, saya dapat lihat kesannya seperti ingatan saya lebih baik berbanding sebelum ini memandangkan saya seorang pelupa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here