Tokoh Islam terkemuka dunia, Dr Zakir Naik berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membenarkan beliau tetap tinggal di negara ini.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, pakar bedah yang mendapat taraf kerakyatan penduduk tetap (PR) di Malaysia itu bersyukur isunya diteliti dengan perspektif yang tidak bias.

Malah beliau berikrar akan menjaga keharmonian di negara ini dan tidak akan sesekali melanggar undang-undang seperti disuarakan Tun Mahathir sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, Tun Mahathir atas kebenaran saya tinggal di sini selagi saya patuhi undang-undang negara ini.

“Saya merasa rendah hati menjadi sebahagian daripada kepelbagaian kaum di negara ini,” katanya.

Beliau meninggalkan India sejak tahun 2016 selepas dikehendaki susulan didakwa terbabit dengan kegiatan mempromosi aktiviti keganasan dan penggubahan wang haram.

Dalam pada itu, beliau sempat melahirkan harapan agar keamanan kembali ke tanah airnya, India dan mendoakan keberkatan terhadap Malaysia.

Melalui kenyataan sama, Dr Zakir menafikan penglibatannya dengan segala aktiviti yang didakwa ke atas dirinya itu.

“Pemerhati akan sedar, sepanjang 25 tahun saya beri kuliah tentang Islam dan keamanan, saya tidak pernah promosi keganasan atas nama Islam atau sebaliknya.

“Tak pernah ceramah saya dibantah bukan Islam di India hinggalah ada pelampau agama yang cuba merosakkan imej saya pada tahun 2012,” jelasnya.

Media melaporkan Dr Zakir mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir pada 4 Julai lalu namun tidak dapat dipastikam butir pertemuan.

Beberapa kumpulan di negara ini turut mendesak Dr Zakir dihantar balik ke India seperti dikehendaki negara itu namun Tun Mahathir menegaskan Malaysia tidak akan menghantar pulang Dr Zakir selagi beliau mematuhi undang-undang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here