Penyanyi terkenal Datuk Zainal Abidin akhirnya menerima bayaran untuk persembahannya semasa majlis penutup Sukan SEA 2017 (KL2017) di Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Susulan itu, penyanyi Ikhlas Tapi Jauh dan Hijau tersebut mengarahkan semua tindakan yang sedang atau akan diambil terhadap syarikat pengurusan acara Memories Entertainment dihentikan.

Menurut peguamnya, Mathew Thomas Philip, Datuk Zainal Abidin sebelum ini mengarahkan firmanya untuk memfailkan saman terhadap syarikat itu bagi menuntut RM14,000 yang merupakan 50 peratus baki bayaran tertunggak.

“Datuk Zainal dengan sukacitanya mengumumkan bahawa jumlah yang belum dibayar itu kini telah dibayar oleh Memories Entertainment.

“Oleh itu, Datuk Zainal telah mengarahkan firma undang-undang untuk menghentikan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Isu bayaran belum dilunaskan itu yang sebelum ini dibangkitkan oleh penyanyi dan pelakon Adibah Noor menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Oktober lalu. Pendedahan itu mendapat pelbagai reaksi umum selain menimbulkan lebih banyak rungutan.

Menurut Thomas, walaupun isu terbabit telah selesai, Zainal masih khuatir jika terdapat rakan artis lain yang masih belum menerima bayaran bagi penat lelah yang dicurahkan.

“Walaupun Datuk Zainal gembira kerana perkara itu diselesaikan, dia masih bimbang dan berharap semua artis lain yang terlibat dalam Sukan SEA akan dibayar.

“Ini bukan masalah wang tetapi adalah perkara prinsip untuk semua artis berkenaan,” katanya.-MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here