pru14

Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyuarakan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) “kerana ada terlalu banyak perkara salah di negara kita”.

“Ia sangat tidak bertanggungjawab untuk sesiapa tidak terbabit dalam usaha mengubah kerajaan ini melalui beberapa cara, walaupun sekadar bersuara tanpa rasa takut bagi membangkitkan isu penting yang menjejaskan rakyat,” tulisnya di blognya.

Bagaimanapun, bekas menteri itu menolak kemungkinan menjadi sebahagian daripada kerajaan, walaupun Pakatan Harapan memenangi PRU14 dan mengambil alih Putrajaya.

“Saya tidak nampak diri saya dalam kerajaan, tetapi saya berharap dapat menjadi suara yang boleh memujuk dan meyakinkan pemimpin mengenai isu teras yang perlu kita tangani.

“Saya tidak boleh tunggu Pakatan Harapan menangani isu sebenar dihadapi rakyat kerana mereka sibuk berunding dengan PAS dan (Datuk Seri) Azmin Ali,” katanya merujuk timbalan presiden PKR dan rundingan dengan parti Islam itu bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada PRU14.

‘Negara Taliban’

Zaid menyuarakan harapannya untuk pembentukan kerajaan pusat berjiwa rakyat, dengan memberi 1 senarai idea untuk kerajaan seterusnya.

Ia termasuk memastikan kuasa perdana menteri diperiksa, Malaysia tidak menjadi “negara Taliban” yang ditadbir teokrasi dan Malaysia menjadi negara kebajikan bertanggungjawab serta berdaya maju.

“Negara ini perlu kekal bebas, bahkan untuk umat Islam. Mereka perlu dilindungi daripada individu yang mahu menjadi pemimpin Taliban.

“Umat Islam di sini perlu menjadi seperti umat Islam di England, Amerika Syarikat dan negara lain di mana mereka boleh memilih menjadi moden sera progresif, malah berdosa jika itu yang mereka mahu.

“Mereka perlu cemerlang dalam perniagaan dan pendidikan. Umat Islam di sini tidak boleh mundur dan bodoh, seperti sesetengah umat Islam di tempat lain.”

Beliau juga berharap Malaysia tidak akan terus menjadi syurga bagi kuasa dan syarikat besar untuk mengawal serta memonopoli sumber negara.

“Malaysia tidak boleh terus menjadi syurga kepada orang terlalu kaya mengaut keuntungan besar, dan satu-satunya pengorbanan mereka ialah menjaga pemimpin berkuasa.

“Sudah tiba masanya kita memberi rakyat apa yang sepatutnya mereka dapat. Kekayaan saksama negara ini bermakna penjagaan kesihatan awam yang lebih baik dan berpatutan, sekolah kerajaan dan sistem pengangkutan awam lebih baik.

“Kita perlu memberi dan melindungi golongan miskin dan kurang berkemampuan,” katanya sambil menambah beliau mahu mewakili golongan itu khasnya kerana “kerajaan ini hanya menjaga golongan kaya dan elit sekian lama”.

Bagi mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat, Zaid berkata, kerajaan dan rakyat perlu tahu makna adil.

“Keadilan perlu menjadi kepercayaan kita dan kita perlu sentiasa melayan orang lain dengan cara yang kita harapkan mereka layan kita.

“Tiada tempat untuk hegemoni jika kita mahu Malaysia menjadi negara makmur dan bahagia. Tiada tempat untuk ketuanan palsu kerana kita sebagai rakyat bersatu padu.”- FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here