Isu kenaikan gred dalam kalangan guru besar dan guru penolong kanan di sekolah rendah akan diberi keutamaan oleh kerajaan dalam memperkasa sektor pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pihaknya bersedia membawa cadangan dikemukakan Majlis Guru Besar Negeri Perak dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia itu ke sidang Parlimen akan datang untuk diperhalusi secara lebih terperinci.

“Secara rasionalnya, apabila gred GD30, GD32, GD40 atau GD48 naik, sektor lain juga akan memohon perkara yang sama, tapi tidak mengapa, kita akan beri keutamaan pada pendidikan ini. Saya akan bawa hasrat ini ke Parlimen bila mula bersidang nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Persidangan Tahunan Majlis Guru Besar (MGB) Negeri Perak Kali Ke 30 di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris.

Terdahulu, Yang Dipertua MGB Perak, Rustam Affandy Abdul Aziz dalam ucapannya memohon kerajaan mempertimbang agar gred jawatan pentadbir di sekolah rendah disama tarafkan dengan jawatan kenaikan pangkat di sekolah menengah iaitu DG52 bagi guru besar dan DG48 bagi guru penolong kanan.

Katanya, pada ketika ini, guru dilantik ke jawatan guru besar akan terus kekal di gred jawatan disandang iaitu DG34 dan hanya diberi elaun sebanyak RM200.

Sementara untuk guru penolong kanan, tetap kekal di gred hakiki DG32 dengan menerima elaun sebanyak RM60 sedangkan pada masa kini mereka adalah guru-guru siswazah.

Situasi itu jelas beliau, berbeza dengan pengetua di sekolah menengah apabila dilantik ke jawatan pengetua menerima perubahan gred jawatan daripada DG48 ke DG52 dan menerima penambahan elaun sebanyak RM300. Manakala lantikan guru penolong kanan sekolah menengah menerima kenaikan gred dari DG44 ke DG48.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sistem pendidikan sedia ada memerlukan rombakan seiring dengan perubahan waktu dan zaman agar pendekatan digunakan itu sesuai dengan kehendak semasa.

Katanya, pada masa ini, masyarakat juga melihat sektor pendidikan sebagai sebuah institusi kepimpinan yang berperanan sebagai pelaksana wawasan kerajaan dalam membentuk generasi berpendidikan.

“Komitmen pengetua mahupun guru besar adalah sangat tinggi, mereka harus fokus sebagai peneraju kepada institusi kepimpinan itu, baik dari segi kepedulian dan pengurusannya. Sekolah biar sekecil mana pun, harus diambil peduli dan diurus dengan baik,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here