Yaman

Beberapa hari kebelakangan dunia dikejutkan dengan serangan peluru berpandu yang dikatakan disasarkan ke tanah suci Mekkah. Kenyataan gabungan negara-negara Arab lantas menuding jari ke arah pemberontak Houthi di Yaman sebagai pihak yang bertanggungjawab melancar serangan itu.

Mengikut agensi berita Saudi (Saudi Press Agency) yang memetik kenyataan gabungan negara-negara Arab, peluru berpandu berkenaan dapat dipintas kira-kira 43 batu dari bandar Mekkah.

Kenyataan itu tidak pula menyebut sama ada Kaabah sebagai sasaran serangan atau sekadar Mekkah. Apa pun sekarang ini puluhan ribu masyarakat Islam seluruh dunia sedang menunaikan ibadat Umrah di Mekkah.

Inilah yang menyebabkan kenyataan gabungan negara-negara Arab itu dilihat sebagai aneh dan kurang meyakinkan masyarakat yang berfikir. Di manakah kewajarannya kumpulan Islam Houthi yang berfahaman Syiah benar-benar melakukan serangan itu, sedangkan jemaah dari Iran juga sedang berada di Mekkah untuk menjalani ibadat Umrah dan Haji yang akan menjelang.

Seorang penganalisis politik antarabangsa, Karine Gevorgvan juga menyatakan keraguannya dalam hal ini.

Ini bukan kali pertama wilayah Arab Saudi cuba diserang. Mei lalu pertahanan udaranya menembak jatuh peluru berpandu beberapa ratus kilometer dari Riyadh. Houthi juga dipersalahkan.

Kedua-dua serangan itu dijangkakan ada kaitan dengan penggempuran pesawat-pesawat udara Arab Saudi di Yaman sejak dua tahun lalu. Tentera Udara Arab Saudi terbabit secara langsung bersama Majlis Kerjasama Teluk dalam kempen udara ke atas puak Houhti yang menyebabkan 10 ribu masyarakat awam kehilangan nyawa. Ini menurut para pegawai kemanusiaan PBB.

Karine Gevorgyan dalam wawancara dengan radio Sputnik berkata, tidak mungkin Houthi yang melancar serangan itu kerana ia tidak bermakna bagi mereka berbuat demikian, “Inilah yang saya katakan kenyataan Arab Saudi itu aneh. Serangan mungkin dari pihak yang kecewa atau yang mahu mengganggu perjalanan ibadah Haji yang akan datang tidak lama lagi. Tetapi bagi Houthi, tidak mungkin mereka sengaja mencari musuh dengan masyarakat Islam seluruh dunia yang datang ke Mekkah untuk mengerjakan haji dan umrah,” kata penganalisis itu.

Menjelaskan lagi keraguannya tentang penglibatan Houthi dalam serangan itu, Gevorgyan berkata, melihat pada situasinya, Houthi hanyalah kumpulan-kumpulan kecil yang berjuang menentang tentera gabungan pimpinan Arab Saudi yang jauh lebih besar, tidak mungkin bagi mereka berani mencabar tentera Arab Saudi yang disokong Mesir, Jordan, Sudan, Bahrain, dan Emiriyah Arab Bersatu.

Mereka juga tidak mempunyai insentif untuk berbuat demikian. Menurut para penganalisis, ada kemungkinan berita mengenai pemintasan peluru berpandu itu hanyalah sebagai amaran kepada Iran tentang keupayaan pertahanan udara Arab Saudi menangkis sebarang serangan dari negara Syiah itu. Ada kemungkinan tindakan Wahabi Arab Saudi yang akan datang menggugat keselamatan Iran kerana menyokong perjuangan Houthi.

Tentera Amerika baru-baru ini menembak ke arah sebuah kapal Iran di Teluk Parsi dan ini menunjukkan mereka telah memulakan provokasi terhadap Iran. Apa yang dilakukan Amerika untuk menambah perpecahan dan permusuhan sesama negara Islam. Mereka mencipta Wahabi untuk membenci Syiah dan lain-lain mazhab Sunnah. Matlamat Amerika supaya Israel terhindar daripada bahaya Islam.

Kenyataan mengenai serangan Houthi ke atas Mekkah juga boleh dianggap satu taktik untuk menutup kedajalan Yahudi menzalimi masyarakat Palestin di Baitulmaqdis, khususnya, masjid Al-Aqsa. Taktik seperti ini sering digunakan banyak negara termasuk Amerika untuk mengalih pandangan dunia daripada satu peristiwa yang boleh menimbulkan kebencian dunia terhadap mereka.

Kenapa Arab Saudi memusuhi Houthi dan siapakah Houthi?

Kemelut Yaman bermula pada 1994 apabila puak Houthi di utara Yaman tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana terlalu memberi muka kepada golongan Wahabi yang diasaskan di Arab Saudi. Mulai 2004 pertempuran merebak ke seluruh Yaman, apabila ulamak Hussein Badreddin al-Houthi, pemimpin kelompok Zaidi Syiah melancar kebangkitan menentang kerajaan, manakala kerajaan dalam usaha memberkasnya. Sebahagian besar pertempuran berlaku dalam daerah Saadah.

Pertempuran pertama tercetus pada Jun hingga Ogos 2004. Anggaran kematian antara 500 hingga 1,000 orang, dan pada tahun itu juga Badr Eddin al Houthi, bapa kepada Hussein diangkat sebagai pemimpin spiritual kumpulan pejuang al-Houthi.

Pada 18 Ogos 2014, Houthi melancar tunjuk perasaan membantah kenaikan harga minyak. Dan pada 21 September tahun itu, kuasa berpindah tangan apabila pemberontak Houthi berjaya merampas kuasa dan dalam perang saudara yang berterusan itu Houthi pada 22 Januari 2015 berjaya mengusir presiden Abed Rabbo Mansour Hadi dari istana di Sanaa selepas dikepung dan dihujani peluru meriam.

Serangan hanya berlangsung setengah jam apabila pengawal istana membenarkan pemberontak Houthi memasuki istana. Presiden Abed Rabbo yang tidak diapa-apakan melarikan diri ke Aden, bandar pelabuhan di selatan Yaman sebelum menubuhkan kerajaan dalam buangan di Arab Saudi. Majalah Newsweek Fabruari 2015 melaporkan, Houthi berjuang “untuk menuntut keadilan bagi rakyat Yaman dan mendesak kerajaan yang bertanggungjawab, menghapuskan rasuah, harga petrol yang adil, peluang pekerjaan kepada rakyat biasa Yaman dan hapuskan pengaruh barat.
Arab Saudi dan Amerika menuduh Iran menyokong perjuangan Houthi, tetapi tanpa bukti kukuh.

Sebaliknya pada Disember 2009. The New York Times melaporkan Amerika membekalkan senjata dan logistik kepada kerajaan Yaman serta menyokong Al-Qaeda yang berada di sempadan Yaman dan Arab Saudi. Perang antara kerajaan presiden Abd Raboo Mansour Hadi dan pergerakan Houthi yang mendapat sokongan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Salleh tercetus pada Mac 2015. Sejurus selepas konflik meletus jet-jet pejuang Arab Saudi serta gabungannya terus melancar serangan ke atas kedudukan Houthi, atas permintaan Hadi.

Sejak itu Arab Saudi dan gabungan Arab Teluknya, melancar ribuan serangan bom di Yaman, khususnya di Sanaa dan Aden, dalam kempen memulihkan kerajaan Abed Raboo Mansour Hadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here