#quranhour

Penganjuran program World #QuranHour di Universiti Islam Maldives (UIM) tahun ini dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

Canselornya, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed berkata, UIM kini sedang membuat persiapan rapi untuk menjayakan program itu, dengan harapan ia akan lebih baik berbanding program tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Maldives, bagi menjemput lebih banyak pusat pendidikan tinggi di negara itu untuk menyertai World #QuranHour kali ini.

“Kami akan anjurkan World #QuranHour pada hari yang sama, namun mengikut zon masa Maldives. Kami sasarkan seramai 500 individu, merangkumi pelajar dan rakyat Maldives untuk menyertai program tersebut.

“Selain itu, kami telah menjemput beberapa menteri Maldives untuk memeriahkan World #QuranHour kali ini. Diharap program ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang awam,” harapnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa berkongsi pengalaman menganjurkan World #QuranHour pada tahun lepas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, semalam.

Mohamed Shaheem berkata, program tahun lalu dianggap satu pengalaman manis walaupun diadakan secara sederhana dengan penyertaan kira-kira 300 peserta.

“UIM sangat berbesar hati kerana Menteri Perumahan dan Infrastruktur Maldives turut sama memeriahkan World #QuranHour tahun lalu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Shaheem berkata, program World #QuranHour memberi impak baik apabila peserta bukan sekadar membaca ayat-ayat suci al-Quran, malah ia perlu difahami supaya kita menghayati mesej yang disampaikan oleh ALLAH SWT kepada seluruh manusia.

“Kami tidak membaca semua juzuk al-Quran. Sebaliknya, kami memilih beberapa petikan ayat al-Quran untuk dibaca dan selepas membacanya, panel yang dipilih akan menerangkan maksud ayat tersebut.

“Bagi saya, kaedah ini lebih berkesan supaya peserta dapat menghayati makna pada ayat terbabit, berbanding sekadar membaca semua ayat al-Quran.

“Namun, saya tetap menggalakkan orang Islam untuk sentiasa membaca al-Quran,” katanya. – Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here