Wisma Putra memanggil Duta Myanmar ke Malaysia, U Sein Oo untuk menyuarakan rasa kurang senang Malaysia terhadap situasi terbaharu keganasan di Negeri Rakhine.

Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin kepada duta Myanmar itu semasa pertemuan di Wisma Putra semalam.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan semalam berkata Malaysia amat bimbang mengenai keganasan berterusan yang diperlakukan terhadap etnik Rohingya di negeri Rakhine.

Beliau berkata meskipun negara anggota ASEAN telah berulang kali menggesa Myanmar untuk mencari penyelesaian terhadap isu itu secara aman, negara tersebut tidak menunjukkan kesediaan atau keinginan untuk berbuat demikian.

“Walaupun kerajaan Myanmar telah memberi jaminan untuk melaksanakan langkah-langkah bagi mengatasi masalah tersebut, insiden keganasan baru-baru ini seperti dilaporkan secara meluas oleh media menunjukkan sedikit sahaja kemajuan, jikapun ada, telah dicapai,” katanya.

Memandangkan perkembangan ini, Anifah berkata Malaysia percaya isu keganasan dan diskriminasi yang berterusan ke atas minoriti Rohingya harus dibawa ke forum antarabangsa yang lebih tinggi untuk dibincangkan.

Anifah juga berkata sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan yang memperjuangkan prinsip hak asasi manusia, masyarakat antarabangsa meletakkan harapan yang tinggi kepada Aung San Suu Kyi untuk mewujudkan keamanan dan perdamaian di Myanmar.

“Malaysia berharap bahawa beliau dapat memenuhi harapan ini tidak lama lagi,” katanya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berasingan berkata kementerian menyuarakan kebimbangan serius kerajaan Malaysia berhubung dakwaan mengenai peningkatan keganasan akibat operasi keselamatan terhadap pelaku serangan pada 25 Ogos.

“Perlu ditegaskan bahawa langkah-langkah keselamatan yang diambil susulan serangan tersebut tidak seharusnya mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan,” kata kementerian itu.

Kementerian itu turut menekankan supaya akses kemanusiaan tanpa halangan diberikan kepada mereka yang terjejas akibat perkembangan semasa di Rakhine.

Wisma Putra berkata Malaysia mengaku tentang kerumitan keadaan di Rakhine dan menggesa Myanmar menangani situasi tersebut termasuk punca masalah itu.

“Jika pergolakan semasa di Rakhine tidak ditangani secara bijak, ia akan menyebabkan lebih ramai etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran termasuk Malaysia. Ia juga akan menyaksikan lebih ramai penduduk di Rakhine semakin terdedah untuk direkrut sebagai anggota oleh kumpulan ekstremis. Kedua-dua perkembangan itu berpotensi memberi kesan serius kepada keselamatan dan kestabilan rantau berkenaan,” kata kementerian itu.

Wisma Putra berkata kerajaan Malaysia berpandangan bahawa adalah penting untuk kerajaan Myanmar segera melaksanakan syor-syor laporan akhir Suruhanjaya Penasihat mengenai negeri Rakhine.

Dalam hubungan ini, kementerian mengulangi kesediaan kerajaan Malaysia untuk memberi sokongan dan membantu kerajaan Myanmar untuk menangani cabaran yang kompleks di negeri Rakhine.

Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra berkata Anifah telah berhubung melalui telefon dengan Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif dan Menteri Luar Turki, Mevlüt Çavusoglu.

Perbincangan mereka tertumpu kepada nasib etnik Rohingya termasuk cadangan untuk mengadakan mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai isu itu di tempat dan masa yang akan ditetapkan dalam masa terdekat, kata Wisma Putra.

Media antarabangsa melaporkan bahawa keganasan yang diperlakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar ke atas etnik Muslim Rohingya baru-baru ini di Rakhine adalah salah satu yang paling buruk dalam sejarah dengan lebih 90,000 daripada mereka melarikan diri ke Bangladesh dan sesetengah daripada mereka terkandas di kawasan pergunungan tanpa apa-apa bekalan asas.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here