Pengendali Arsenal Arsene Wenger didakwa oleh Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris di atas tindakannya selepas keputusan seri 1-1 menentang West Bromwich Albion Ahad lalu.

Wenger, 68, berang dengan keputusan pengadil Mike Dean yang memberikan sepakan penalti kepada West Brom pada minit ke-89 selepas bola terkena tangan Calum Chambers.

FA berkata dakwaan ke atas Wenger adalah kerana tingkah lakunya di dalam bilik persalinan pegawai perlawanan sejurus wisel penamat ditiup – pengendali dari Perancis itu perlu menjawab pertuduhan ke atasnya sebelum Jumaat ini.

Wenger tampak tidak kesal dengan tindakannya apabila mengulangi rasa tidak puas hatinya ketika sidang media menjelang pertemuan dengan Chelsea.

“Ia amat mengecewakan,” kata Wenger. “Apa yang lebih mengecewakan ialah ia sering terjadi musim ini – di Stoke, Watford, Man City, dan sekarang West Brom.

“Ia satu kebetulan yang membimbangkan. Sebab itulah saya tidak gembira langsung dengan keputusan pengadil memberikan penalti. Ia langsung tidak berkaitan dengan apa yang berlaku. Dia melihat apa yang dia mahu lihat.”

— AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here