Wayne Rooney

SELEPAS 13 tahun meninggalkan kelab untuk menyertai Manchester United, Wayne Rooney membuat keputusan muktamad untuk ‘rujuk’ kembali dengan Everton.

Rooney menyempurnakan kepulangannya ke Everton selepas Toffees mempersetujui sejumlah yuran perpindahan kepada United, namun nilainya tidak didedahkan.

Bintang berusia 31 tahun itu telah setuju dengan kontrak selama dua tahun di Goodison Park selepas lulus ujian kesihatan pada Sabtu.

Rooney meninggalkan Everton untuk United pada tahun 2004 dengan nilai perpindahan 27 juta Pound Sterling (RM149 juta) sekaligus menjadikannya pemain remaja termahal di dunia pada ketika itu.

Bintang yang berasal dari Croxteth, Liverpool itu telah memenangi 12 trofi kemenangan dalam tempoh 13 tahun ini termasuk lima gelaran Liga Perdana, tiga Piala Liga, Piala FA, Liga Juara-Juara dan Liga Eropah.

Dia diangkat menjadi kapten oleh Louis van Gaal pada 2014 dan memecahkan rekod Bobby Charlton di United pada musim lalu yang akhirnya menyempurnakan 253 gol dalam 559 penampilan.

Pengurus United, Jose Mourinho berkata: “Saya sudah lama mengagumi Rooney dan ia bukan lagi rahsia. Dia menjadi model profesional sepanjang kariernya bersama United dan akan kekal dalam buku sejarah untuk satu tempoh yang panjang.

“Memang bukan mudah untuk melihat pemain yang hebat pergi dan saya tidak boleh menghalangnya apabila dia meminta untuk kembali ke Everton.

“Pengalamannya, fokus dan keazaman dalam pasukan akan dirindui dan saya mengucapkan dia berjaya pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan. – Fotmob

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here