KUALA LUMPUR: Hari Kemerdekaan ke-58 hari ini disambut meriah dengan pelbagai persembahan dan pertunjukan menghiasi sepanjang berlangsungnya acara itu di Dataran Merdeka, dihadiri segenap lapisan masyarakat dengan penuh semangat patriotik selaras temanya `Malaysia Sehati Sejiwa’. Sambutan bermula jam 8.15 pagi di dataran bersejarah itu merekodkan kehadiran sekitar 100,000 pengunjung yang menyaksikan perbarisan pelbagai kontinjen anggota keselamatan, penjawat awam dan wakil beberapa agensi swasta.

Rakyat hadir dengan pelbagai pakaian termasuk yang memaparkan corak bendera Malaysia dan membawa Jalur Gemilang selain pelbagai baju mengandungi unsur patriotik. Acara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diiringi 14 das tembakan meriam oleh Rejimen Alteleri Diraja. Ia disusuli laungan ikrar diketuai Nor Adzmi Baba beserta lima ikon muda Malaysia termasuk penyampai radio terkenal dari stesen Hot FM, Fara Fauzana; Ikon belia, Zharif Affandi serta malim gunung, Mohd Ridzuan Kauhinin sebelum disusuli laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali sebaik tamat lafaz.

Selesai bacaan ikrar, persembahan pentas memulakan acara dengan mainan gendang oleh 900 peserta membabitkan gabungan kekuatan dari anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta belia. Ia kemudian disusuli persembahan kawad irama oleh 2,640 peserta daripada Jabatan Pendidikan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

 

Ratusan Ribu Warga Malaysia Membanjiri Dataran Merdeka Sempena Hari Kebangsaan 2015
Ratusan Ribu Warga Malaysia Membanjiri Dataran Merdeka Sempena Hari Kebangsaan 2015

Seramai 13,000 peserta daripada pelbagai kontinjen menyertai persembahan dan perbarisan berkonsepkan #sehatisejiwa. Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis sambutan, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan Menteri Kabinet, ahli politik serta wakil kedutaan turut hadir.

Persembahan bermula dengan Demontrasi Anti Teroris oleh 43 anggota ATM disusuli perbarisan 360 peserta daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) membawa jalur gemilang dan bendera negeri-negeri. Kontinjen jelajah Malaysia mendahului acara perbarisan dengan jumlah kekuatan 647 peserta mewakili pelbagai agensi dan persatuan termasuk PROTON dan Malim Gunung. Sambutan pagi ini juga dimeriahkan lagi dengan persembahan ikon animasi negara, Upin dan Ipin yang berarak melintasi pentas utama bersama 20 maskot animasi dan 40 kanak-kanak.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan majlis pada jam 10.10 pagi.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here