KETUA Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata beliau menunggu masa bagi parti PAS untuk memecat beliau.

Terkenal sebagai seorang liberal dan progresif, Wan Saiful hari ini mengaku beliau menyertai PAS sejak 1997 sebagai ahli seumur hidup walaupun tidak bersependapat dengan parti Islam konservatif itu.

“Semua orang pernah buat silap kan? Saya bergurau. Tapi saya mula terlibat dengan PAS pada tahun 1992 dan menyertai (PAS) sebagai ahli seumur hidup pada 1997.

“Lambat laun mereka akan pecat saya juga,” kata beliau menjawab soalan selepas membentangkan kertas beliau di Persidangan Antarabangsa Transisi Demokratik Dunia Islam ke-5 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh seorang peserta persidangan yang menyatakan terdapat laporan bahawa Wan Saiful yang selalu mengkritik tindakan PAS selama ini rupa-rupanya masih menjadi ahli parti itu.

Kertas kerja bertajuk “Islamisme dalam politik Malaysia: Perpecahan PAS dan penyebaran Idea Progresif” yang dibentangkan beliau menyimpulkan bahawa parti Islam itu ditunjangi¬†golongan konservatif yang mencengkam parti itu sehingga golongan progresif terbuang.

“PAS tidak akan menjadi progressif. Ada kata antara 1998 hingga 2010 PAS telah berubah menjadi lebih progressif dengan golongan tersebut diberikan jawatan penting menerajui parti.

“Bagaimanapun pada 2015, golongan tersebut ditendang keluar selepas dilihat terlalu berpengaruh dalam parti,” kata beliau merujuk kepada kekalahan beramai-ramai pemimpin PAS pada muktamar parti itu di Shah Alam dua tahun lalu yang membawa majoriti pemimpinnya menubuhkan Parti Amanah Negara.

Wan Saiful bagaimanapun turut menyatakan Amanah sebenarnya tidak memperjuangkan prinsip progresif sebenar sebaliknya lebih sesuai digelarkan sebagai “neo-konservatif” kerana turut memperjuangkan idea lama berbanding kerangka baru.

“Bagi saya progresif ini mengatakan mengenai tanggungjawab individu, di Malaysia parti politik masih memperkatakan mengenai tanggungjawab negara kepada rakyat,” kata beliau.

Wan Saiful berkata idea progresif walaupun masih cetek di peringkat parti politik di negara ini, masih mempunyai masa depan yang baik kerana ia turut didokong oleh masyarakat sivil.

Justeru beliau berkata harapan untuk Islam dan negara progresif tidak patut diletakkan di bahu pemimpin politik semata kerana ia idea yang boleh berevolusi di kalangan masyarakat.

“Progresif masih belum menjadi ‘mainstream’ di Malaysia. Kebaikannya ialah idea tidak akan mati, ia lebih kuat daripada organisasi dan parti politik. ia akan terus hidup dan dibawa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here