Syarikat penerbitan Zeel Production mempersembahkan sebuah telefilem hebat arahan Amie Maziah berjudul Wan Embong sempena sambutan Hari Malaysia.

Bakal ditayangkan di TV3, telefilem ini membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Faizal Hussein, Neelofa, Izreen Azminda, Vanida Imran, Johan As’ari dan Datuk Rahim Razali.

Selaku pengarah, Amie menyifatkan Wan Embong karya dari hati apabila meraih kepuasan dalam keseluruhan garapan penceritaan.

“Berbeza dengan arahan sebelum ini, Wan Embong buat saya rasa lebih puas. Bukan sebab karya semata-mata, tetapi emosi dibawa setiap pelakon cukup meninggalkan kesan.

“Tak perlu pandang elemen lain, hanya fokus pada naratif,” katanya.

Meskipun ada beberapa perkara dianggap biasa dalam cerita Melayu, Amie memuji garapan skrip Wan Embong.

“Berdasarkan judul ramai ingat telefilem ini cerita epik, tetapi sebenarnya apa yang mahu saya ketengahkan adalah jiwa Wan Embong. Bagaimana dia mengorbankan kebahagiaan diri demi orang lain.

“Keseluruhan naratif memperlihatkan emosi Wan Embong dalam beberapa situasi,” katanya.

Pertama kali bekerjasama dengan Neelofa sebagai Wan Embong, pengarah drama Trilogi Cinta ini seronok apabila pengacara Meletop itu berjaya memenuhi pemintaannya dalam menjayakan watak terbabit.

“Neelofa menerima pandangan orang lain dan turut menyumbang idea. Apabila saya minta lebih dari segi syot dalam mana-mana babak, dia tak membantah.

“Dia berjaya menyampaikan emosi Wan Embong dengan baik. Banyak babak berat memberi pengalaman baru buatnya. Sebagai contoh babak Wan Embong dibaling batu dan duduk dalam kolong.

“Begitu juga dengan pelakon lain, semuanya memberi seperti yang diminta. Paling penting, mereka tidak ‘membunuh’ watak orang lain sebaliknya saling membantu. Sebelum memulakan penggambaran mereka mengadakan perbincangan,” katanya.

Jelas Amie lagi, sepanjang 14 hari penggambaran di Bukit Cerakah, Shah Alam, Gunung Lang, Ipoh serta Tasik Banding Hutan Belum, Grik barisan pelakon sangat komited meskipun ada 13 babak terpaksa dirakam semula.

Ini cabaran buat saya dan kru poduksi. Berikutan beberapa masalah, kami terpaksa melakukan penggambaran semula dan lebih parah ia membabitkan babak berat.

“Saya lihat ia sebagai satu hikmah malah minta pelakon menganggap penggambaran sebelumnya sebagai latihan mereka,” katanya.

Telefilem ini menyaksikan kerjasama pertama Zeel Production dengan Johan dan Vanida malah lebih menarik Neelofa, Vanida dan Izreen bersatu sebagai isteri kepada Omar lakonan Faizal Hussein.

Wan Embong berkisarkan kisah cinta terhalang dua insan sehingga diselimuti kebencian, fitnah dan pengkhianatan. Ketua Kampung Tuan Tunggal, Omar memiliki dua isteri iaitu Seri (Vanida) dan Chempaka (Izreen).

Ketika mengutip cukai bulanan di rumah Wan Manap (Datuk Rahim Razali), hati Omar tersentuh. Omar memahami keadaan Wan Manap yang uzur dan tidak mampu bekerja.

Omar jatuh hati dengan anak Wan Manap, Wang Embong. Jika gadis bertudung itu sudi menjadi isterinya, Wan Manap tidak lagi perlu membayar cukai bulanan.

Kasihankan bapanya, Wan Embong terpaksa bersetuju menjadi isteri Omar namun meletakkan syarat dirinya tidak boleh disentuh lelaki itu.

Isteri pertama Omar tidak suka Chempaka dan Wang Embong kerana menganggap mereka hanya mahukan harta suaminya. Berlainan dengan Chempaka, dia mudah mesra dan bersikap baik dengan Wan Embong. Namun segalanya berubah apabila Wan Embong diperkenalkan kepada Ali (Johan).

Bermain emosi

Bagi Neelofa, 26, watak Wan Embong bukan calang-calang kerana perlu banyak bermain dengan emosi.

“Watak ini berat kerana tidak ada banyak dialog sebaliknya lebih kepada emosi. Saya terima tawaran ini sebab tidak pernah bawa watak sebegini dan jalan ceritanya pun menarik.

“Selain pengarah, pelakon lain seperti Faizal Hussein, Vanida Imran dan Izreen Azminda sangat membantu. Kami sama-sama berbincang bagaimana mahu sampaikan sesuatu babak,” katanya.

Sementara itu, Izreen Azminda, 30, yang sudah lama tidak menjayakan watak antagonis berpuas hati dapat menghidupkan karakter Chempaka.

“Saya rindu bawa watak gelap. Kali terakhir menerusi drama Julia di TV3, tiga tahun lepas. Puas dan seronok apatah lagi bekerja di bawah arahan Amie.

“Kebelakangan ini saya nampak watak antagonis lebih disukai penonton,” katanya.

Tambah pelakon Eksperimen Cinta ini, berlakon di samping Vanida Imran dan Faizal Hussein memberinya motivasi dan inspirasi.

“Mereka banyak berkongsi ilmu. Ini gandingan kedua saya dengan Vanida manakala Faizal pula kali pertama.

“Mereka tak sombong meskipun sudah lama dalam bidang ini. Pelakon baru perlu belajar daripada mereka cara bawa diri,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here