sarawak

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun merupakan lambang penyatuan persekutuan yang merdeka, berdaulat, serta berpaksikan prinsip kebebasan dan keadilan.

Bagaimanapun, meskipun 54 tahun Malaysia dibentuk, kerajaan masih gagal memberikan faedah dan pembangunan ekonomi yang adil antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, kata Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pembangunan infrastruktur, jaringan jalan raya, elektrik dan kemudahan awam lain seperti pendidikan dan kesihatan khasnya di Sabah dan Sarawak, masih jauh ketinggalan khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Sabah dan Sarawak terus-terusan tercicir daripada arus pembangunan, sebaliknya dipermainkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan janji serta slogan olok, namun masih jauh daripada disempurnakan?

“Bahkan perbezaan pembangunan wilayah juga ketara di Semenanjung sendiri, daripada segi kesenjangan antara negeri-negeri pantai timur dan utara berbanding negeri pantai barat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kenyataan sama berkata, ia berlaku akibat perlaksanaan polisi yang tidak menjamin keadilan pengagihan hasil kekayaan dan sumber negara.

“Ditambah dengan pemusatan kuasa serta kepincangan tadbir-urus belanjawan pembangunan kerajaan persekutuan. Ini ditambah buruk lagi dengan pentadbiran yang sarat rasuah dan salah guna kuasa.

“Semangat Persekutuan atau Federalisme dalam Perjanjian Malaysia 1963 tidak diiktiraf sepenuhnya sedangkan Perlembagaan Persekutuan memperakui bahawa Sabah dan Sarawak ialah wilayah federal yang khas dan merupakan rakan kongsi setara dengan Semenanjung,” katanya.

Justeru, menurut Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Lim Guan Eng, Pakatan percaya Sabah dan Sarawak berhak kepada reformasi struktural dan tata kelola baik yang berpaksikan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan supaya segala potensi bumi, sumber dan tenaga dapat dijana dan dikembalikan kepada rakyatnya.

“Ia juga berhak kepada semangat federalisme berasaskan perpaduan dalam kepelbagaian, keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban. Konsep Federalisme berasaskan Perkara-perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan wajib difahami, dihayati dan dihormati.

“Pakatan Harapan berikrar untuk menyediakan pengagihan hak dan tanggungjawab dalam semua bidang dan institusi secara adil dan saksama antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Dalam masa sama, Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya beriltizam untuk membangunkan bangsa Malaysia yang beridentiti nasional, berpaksi kepada nilai-nilai dikongsi bersama.

“Kita harus bersatu-padu, kreatif dan inovatif, dan berdaya saing untuk berjuang demi negara buat menikmati Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.

“Bersama kita jayakan hasrat murni ini untuk melahirkan sebuah Persekutuan yang adil dan saksama demi kebaikan dan kesejahteraan seluruh rakyatnya,” ujarnya.

ATIRAH HASLI-Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here