gaji minimum

GAJI minimum merujuk kepada gaji yang diberikan oleh majikan pada tahap minimum tanpa mengira mana-mana sektor, faktor termasuk jantina, kelulusan, bidang dan sebagainya.

Pertama kali diperkenalkan di Australia dan New Zealand pada akhir abad ke-19, undang-undang gaji minimum kini terdapat di lebih 90 peratus negara di seluruh dunia.

Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta di negara ini telah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April 2012 dan telah diwartakan pada 16 Julai tahun yang sama.

Pada dasarnya, gaji minimum di Malaysia telah ditetapkan sebanyak RM1,000 sebulan bagi semenanjung dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang ditetapkan mengikut Perintah Gaji Minimum 2016.

Pada 8 Oktober 2017, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu gaji minimum yang diperkenalkan pada tahun 2012 dinaikkan kepada RM1,800 dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat.

Adakah gesaan MTUC itu sesuatu yang baik untuk pekerja di negara ini?

Jika dilihat, cadangan MTUC itu ada baiknya namun ia perlu dilihat kepada banyak aspek.

MTUC mahu gaji minimum dinaikkan sebanyak sekitar RM200 seminggu atau sekitar RM800 sebulan yang mana ia akan membawa kepada gaji minimum yang dicadangkan RM1,800.

Selain kepada aspek kos sara hidup, penetapan gaji minimum kepada RM1,800 ini perlu dilihat kepada kemampuan majikan.

Umpamanya pembantu rumah, mampukah majikan membayar sehingga RM1,800 kepada amah mereka?

Tidakkah penetapan gaji yang tinggi itu juga bakal menyebabkan pelabur melarikan diri kerana kos buruh yang mahal di negara ini?

Mereka pastinya akan memberi tumpuan di negara yang mana kos buruh adalah rendah termasuk Vietnam.

Sekiranya gaji minimum ditetapkan RM1,800, adakah kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing?

Sekiranya perkara ini berlaku, industri dijangka tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.

Sebagai pekerja yang ‘makan gaji’, pastinya cadangan ini diterima dengan hati yang suka dan lapang dada.

Namun bagi pihak majikan, adakah mereka boleh menerima cadangan ini?

Ini kerana, pertambahan gaji minimum ini akan membuatkan kos yang amat besar terpaksa ditambah pada setiap bulan.

Ia juga pastinya akan mengakibatkan rekod perbelanjaan dan pendapatan sesebuah tempat kerja itu akan mengalami perubahan ketara.

Sebagai contoh, untuk seorang pekerja pencuci tandas yang digajikan RM900 sebulan, syarikat pencucian tersebut terpaksa menampung separuh lagi kenaikan gaji pada setiap bulan.

Jika syarikat berkenaan mempunyai seramai 100 orang pekerja, maka bayangkan berapa jumlah perbelanjaan syarikat tersebut harus dikeluarkan?

Ini sudah semestinya akan membuatkan kos perkhidmatan pencucian yang dikenakan oleh syarikat tersebut akan turut meningkat lebih dari sekali ganda.

Bukan itu sahaja, harga barang dan perkhidmatan lain pun turut bakal mengalami kenaikan yang sama, lebih dari sekali ganda dari harga sedia ada.

Sekiranya berlaku kenaikan harga barang, siapa yang akan mendapatkan kesan daripadanya?

Sudah tentu rakyat akan ‘naik darah’ sekali gus meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada kerajaan.

Dalam menentukan gaji minimum dan harga barang serta perkhidmatan di pasaran ini, kita harus mengambil kira hukum ekonomi itu sendiri.

Perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya boleh dinaikkan mahupun diturunkan begitu sahaja.

Kajian menyeluruh perlu dilakukan kerana apa yang penting ianya memberikan situasi menang-menang bukan sahaja kepada golongan pekerja malah para majikan.

Jangan disebabkan penetapan kadar gaji minimum yang tinggi, harga barang melambung naik dan yang menderita rakyat secara keseluruhannnya.

Carilah pendekatan terbaik bagi memastikan pekerja swasta di negara ini mendapat pembelaaan sewajarnya.

MTUC hanya membuat tuntutan, peranan kerajaan untuk menelitinya.

Rakyat secara keseluruhan pula pasti akan menilainya dan memberi maklum balas di atas setiap kesan yang dihadapi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here