“ISU ini hanyalah salah faham saja dan ia sudah selesai, malah mereka pun sudah meminta maaf (atas video tular),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau mengulas mengenai empat video yang tular di laman sosial memaparkan seorang murid prasekolah, Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, meniti di jambatan gantung yang rosak di Kampung Pamah Aur, Bukit Betong , Lipis bersama bapanya, Abdul Jalil Sulaiman, 41, untuk ke Sekolah Batu Yon, Bukit Betong, hari ini.

Empat video yang masing-masing berdurasi satu minit itu dimuatnaik oleh ibu murid berkenaan, Siti Zaharah Othman, 33, menerusi Facebook (FB) dan mendapat perhatian netizen, malah sehingga 2.30 petang ini, ia sudah mendapat lebih sejuta juta tontonan.

Selain kecaman terhadap Kerajaan Negeri yang dilihat gagal menyediakan infrastruktur sempurna kepada penduduk, ada juga netizen yang mengecam tindakan ibu bapa berkenaan yang dilihat membahayakan nyawa anak mereka.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri berkata, pihaknya sudah membuat permohonan untuk melakukan kerja baik pulih jambatan itu dan ia sudah diluluskan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 21 Disember lalu.

“Saya juga terkejut apabila mendapat tahu mengenai rakaman video klip itu, saya sudah berjumpa dengan Abdul Jalil dan beliau berpuas hati selepas mendengar penjelasan yang diberikan.

“Beliau juga sudah meminta maaf dengan kejadian itu dan saya harap, jika ada penduduk di kawasan berkenaan yang tidak berpuas hati atau mempunyai sebarang persoalan berhubung masalah di kawasan mereka, tolong datang bertemu dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau penghulu atau berjumpa dengan saya sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Rosdy turut berkongsi dokumen kelulusan permohonan projek baik pulih jambatan gantung terbabit melalui aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan surat kelulusan itu, peruntukan berjumlah RM462,414,40 sudah diluluskan JKR sejak 20 Nov. 2017 untuk kerja baik pulih yang dijadualkan akan dimulakan pada Isnin depan (8 Jan. 2018).

Beliau berkata, terdapat laluan laluan alternatif untuk ke sekolah iaitu dengan melalui Jalan Aur Gading – Padang Tengku dan ia mengambil perjalanan selama 45 minit.

“Jalan berkenaan tidak boleh dilalui ketika ini kerana dinaiki air namun, pihak JKKK ada menyediakan bot untuk memudahkan pergerakan penduduk namun saya tidak tahu mengapa mereka tidak mahu menggunakannya…mungkin ibu murid ini terlalu bersemangat untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil memohon maaf bagi pihak isterinya kerana memuat naik video berkenaan sehingga menjadi tular dan mendapat kecaman.

“Saya dimaklumkan proses membaik pulih jambatan berkenaan akan dimulakan 8 Januari ini..saya juga berterima kasih kepada YB (Datuk Seri Wan Rosdy) dan pihak kerajaan,” katanya.

Video viral

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here