PETALING JAYA: Datuk Lee Chong Wei membuat laporan di Bukit Aman hari ini bagi meminta polis menyiasat satu klip video seks mengaitkan dirinya dengan seorang wanita tidak dikenali.

China Press melaporkan jaguh badminton dunia itu memberi keterangan selama 3 jam di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), sebelum meninggalkan ibu pejabat polis itu pada 6 petang tadi.

Beliau berkata, lelaki dalam video seks itu bukan dirinya, jadi tiada apa yang perlu dijelaskan dan beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara itu.

Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman (Multimedia dan Siber), SAC Ahmad Noordin Ismail dipetik akhbar itu mengesahkan Chong Wei sudah membuat laporan dan meminta polis menjalankan siasatan menyeluruh.

Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak 3 kali itu dipetik New Straits Times berkata, dakwaan itu mungkin dimulakan pihak tertentu yang mahu melihat beliau gagal.

Katanya, ia boleh dikaitkan dengan tayangan perdana filem biopiknya bertajuk “Lee Chong Wei: Rise of the Legend” yang dijadualkan bulan depan.

“Ini tidak masuk akal. Sekali pandang pada video itu anda tahu orang itu bukan saya.

“Ramai yang hubungi saya untuk mengesahkan jika orang itu ialah saya dan saya terpaksa ketawa.

“Pada mulanya saya tiada rancangan untuk memberi maklum balas mengenainya kerana ia benar-benar membuang masa.

“Bagaimanapun, ia semakin tidak terkawal dan saya membuat laporan polis di Bukit Aman hari ini.”

Katanya, beliau sudah biasa menjadi subjek tuduhan sedemikian.

“Sentiasa ada orang yang tidak suka dengan kejayaan anda dan ini cara mereka cuba menjatuhkan anda.

“Saya tidak bimbang, tetapi kadangkala ia buat anda marah.” -FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here