SATU video memaparkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai Pakatan Penghasut yang menarik rakyat untuk menolak kerajaan mula dikesan berlegar di media sosial.

Video itu antara lain menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat menikmati kemudahan disediakan kerajaan dan kemudiannya didatangi satu watak yang membisikkan kata-kata hasutan.

Video sepanjang 3.42 minit itu dimuatkan di Youtube dengan hashtag #TolakPakatanHasutan.

Dalam babak pembukaannya, ia memaparkan seorang pekerja pejabat menyatakan penghargaan kepada penyelianya atas bayaran bonus dengan diperhatikan oleh seorang tukang cuci.

Babak seterusnya menunjukkan seorang lelaki membantu seorang wanita warga emas melintas jalan dengan diperhatikan seorang kanak-kanak.

Video tersebut memaparkan tajuk “Terdapat pelbagai kebaikan di Malaysia” dan seterusnya memaparkan tukang cuci itu didatangi watak penghasut yang memberitahunya supaya tidak mempercayai penyelia tersebut.

“Jangan percaya, dia makan lagi banyak,” bisik watak penghasut tersebut.

Ia kemudiannya menunjukkan babak kanak-kanak berkenaan didatangi watak penghasut sama yang membisikkan: “Ini semua lakonan je. Dia saja je nak tunjuk baik”.

Video berkenaan seterusnya memaparkan tajuk: “Kini kebaikan dikaburi dengan hasutan”.

Beberapa babak selepas itu menunjukkan beberapa lagi situasi serupa dan kemudiannya memaparkan potongan video menunjukkan ucapan pemimpin PH.

Antara yang dipaparkan adalah pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, serta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Satu video serupa dengan tanda pagar #TolakPakatanHasutan mula dikesan tersiar di laman Facebook pengarah unit propaganda kerajaan, Jabatan Hak Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz sejak 13 November lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here