Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem berjanji akan memanfaaatkan sepenuhnya Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN) dengan sebaik mungkin selepas namanya disenaraikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai program itu.

Katanya, beliau dan Tan Wee Kiong akan menggunakan kesempatan ini sebagai platform untuk meningkatkan prestasi mereka yang ketika ini tidak memberangsangkan.

Bagi V Shem, beliau terkejut apabila mengetahui disenaraikan BAM untuk Program Podium namun pada masa sama berterima kasih kepada badan induk itu kerana memberi peluang terbaik ini untuk mereka.

“Kami gembira kerana menjadi pilihan BAM untuk menyertai program ini. Ini sudah pasti menjadi platform terbaik untuk kami terus bekerja keras dan beraksi lebih baik dalam kejohanan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi.

Selain V Shem-Wee Kiong, BAM turut menyenaraikan tujuh lagi pemain, Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Mengulas kejohanan selepas ini, V Shem memberitahu beliau dan Wee Kiong kini dalam persiapan untuk menghadapi Terbuka Jepun yang akan bermula Selasa depan.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak meletakkan sasaran tinggi sebaliknya hanya mahu melepasi peringkat suku akhir dalam kejohanan tersebut.

“Bagi saya suku akhir sudah capai sasaran. Namun apa yang penting sekarang adalah elak kecederaan, supaya boleh kekalkan rentak,” katanya.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here