KUALA LUMPUR, 2 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merancang untuk menubuhkan Stesen Janakuasa Penukaran Tenaga Termal Lautan (OTEC) pertama negara di Pulau Layang-Layang, Sabah.

Pengarah Pusat Tenaga Termal Lautan (OTEC) UTM Prof Dr Md Nor Musa berkata stesen janakuasa itu akan dapat mewujudkan peluang komersial dan mengubah kesejahteraan sosio-ekonomi negara dengan pesat.

Beliau berkata dana pembangunan sebanyak RM35 juta telah dipohon untuk projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

“Apabila siap, stesen janakuasa OTEC akan dapat memastikan bekalan tenaga, air dan makanan yang berterusan untuk menyokong kehidupan manusia.

“Kami sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan untuk stesen janakuasa OTEC pertama negara yang akan membantu mengurangkan kebergantungan kita kepada loji janakuasa arang batu,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Simposium OTEC Antarabangsa Ketiga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini Rabu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pasdec Corporation Sdn Bhd Datuk Mohd Khairuddin Abdul Manan berkata projek itu memerlukan sokongan dan penglibatan daripada kerajaan untuk menjadikannya kenyataan.

“Ia idea yang baik. Tenaga boleh diperbaharui merupakan projek yang baik untuk dimulakan kerana ia menyediakan pendapatan yang berterusan daripada tenaga bersih, manakala tempat seperti Pulau Layang-Layang boleh dibangunkan kepada taman dan resort eko-pelancongan,” katanya.

Beliau turut menggesa UTM OTEC dan pihak lain di negara ini untuk meneroka potensi teknologi hidrogen dengan memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan negara lain.

Ditubuhkan pada 2006, OTEC menggunakan gradien termal asli lautan untuk menjana tenaga berikutan haba yang terkandung di kawasan laut dalam boleh ditukar kepada tenaga elektrik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada arang batu yang diimport.

Simposium selama dua hari yang bermula semalam, dihadiri pakar-pakar dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Malaysia, Perancis dan Jepun.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here