Uqasha Senrose tetap mendapat publisiti meluas, malah peminatnya semakin bertambah walaupun digelar penuh sensasi dan sering dilanda kontroversi.

Biarpun terpalit gosip dan kontroversi yang tidak sedap didengar, namun tiada siapa mampu membuktikan wanita yang berumur 24 tahun itu bersalah.

Dia yang mesra disapa sebagai Uqasha menganggap setiap gosip yang melanda sebagai ujian Tuhan yang mahu menguji kesabarannya. Uqasha adalah antara pelakon wanita yang bijak menepis segala tohmahan.

Terbaharu, wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu menafikan gosip yang mendakwa dia sebagai selebriti berhijab yang sanggup membuka tudung ketika mengunjungi sebuah kelab malam di ibu negara baru-baru ini.

Kesal dengan dakwaan tersebut, pelakon yang popular menerusi filem Paku Pontianak itu menganggap, ia satu tuduhan tidak berasas yang disifatkan sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya masih waras dan tahu membezakan antara perkara baik dan buruk.

“Pergi ke kelab malam pun tak pernah, apatah lagi nak ke tempat sosial itu tanpa berhijab dengan sesuka hati. Ia satu tuduhan yang tidak masuk akal dan sengaja direka. Jujur saya katakan, bukan saya orangnya.

“Biarlah apa orang nak cakap kerana mulut manusia ini tidak mampu ditutup,” luah Uqasha yang reda dengan setiap cerita buruk yang terpalit kepada dirinya.

Kira-kira dua minggu lalu, ruangan pojok sebuah akhbar mingguan menyiarkan gosip berhubung kelakuan kurang manis seorang selebriti wanita berhijab yang sanggup menanggalkan tudung semata-mata mahu bergembira bersama rakan-rakan di kelab malam.

Biarpun sering dilanda kontroversi, pelakon jelita itu dilihat tetap optimis memajukan dirinya dan tidak mengambil pusing setiap cerita buruk yang bakal merosakkan kerjaya lakonannya dalam industri seni tanah air.

“Bagi saya, apabila bergelar figura awam, inilah harga yang perlu dibayar. Saya buat benda baik orang mengata, buat perkara yang tidak baik lagi orang akan menghentam. Jadi, saya mengambil pendekatan untuk tidak melatah atau mengeruhkan lagi keadaan.

“Tidak dinafikan, sewaktu belum bertudung dahulu, saya sama seperti gadis lain yang gemar bersosial bersama kawan-kawan, tetapi setelah berhijab saya perlu menjaga adab, tingkah laku dan aurat,” jelasnya yang baru melancarkan koleksi tudung keluarannya di bawah jenama Uqasha Senrose pada Khamis lalu.

Bisnes tudung

Menyentuh mengenai bisnes tudung yang dijalankan, Uqasha memberitahu, sebanyak lapan jenis rekaan diperkenalkan di bawah jenama tudung keluarannya.

Sejak berhijab, ramai yang bertanya cara saya memakai tudung, selain ditawarkan menjadi duta produk Muslimah.

“Disebabkan itu, pada bulan Ramadan lalu, saya nekad untuk mengeluarkan jenama tudung sendiri.

“Alhamdulillah, sebagai permulaan saya memperkenalkan lapan jenis rekaan tudung bawal yang lebih trendy dan moden, selain menawarkan harga yang mampu milik kepada semua pelanggan,” ujar Uqasha sambil memberitahu, setiap tudung tersebut boleh dibeli secara online menerusi www.uqashasenrose.com.my.

Tambah Uqasha, dia kini dalam perancangan untuk membuka sebuah butik di ibu kota.

Jika tiada aral melintang, saya bakal membuka butik tudung di Bangsar, Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkannya,” katanya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here