Manchester United bermula garang musim ini  dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas West Ham di Old Trafford, awal pagi Isnin.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris itu, Lukaku menjaringkan gol dalam kemunculan pertamanya buat Manchester United dengan dua jaringan pada minit ke-33 dan 52′.

Lukaku menyertai Manchester United pada musim panas ini dengan bayaran yang boleh mencecah sehingga £90 juta (RM502.9 juta).

Pemain kelahiran Belgium itu hanya mengambil masa 35 minit untuk memberikan gol pembukaan buat Manchester United.

Dua lagi jaringan dicatatkan oleh Anthony Martial dan Paul Pogba, masing-masing pada minit ke-87 dan 90′.

Chelsea tewas

Manakala Conte kesal dengan anak buahnya yang hilang fokus selepas kapten Gary Cahill dibuang padang ketika Chelsea tewas 2-3 di tangan Burnley di Stamford Bridge.

Chelsea bergelut sejak dari awal perlawanan apabila Cahill dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Pasukan tuan rumah ketinggalan 3-0 pada babak pertama kepada yang hanya memperoleh tujuh mata di gelanggang lawan sepanjang kempen musim lalu.

Ia hari yang mengecewakan buat Conte yang menjulang trofi EPL pada musim pertamanya bersama kelab itu.

Namun beliau menyifatkan kekalahan itu disebabkan Chelsea kekurangan pemain baharu selain turut membenarkan beberapa pemain lain untuk meninggalkan Stamford Bridge.

“Aksi babak pertama amat mengecewakan. Selepas layangan kad merah, kami hilang arah dan membiarkan dua gol membolosi gawang. Jadi amat sukar untuk mengubah keputusan akhir,” kata Conte.

Cristiano Ronaldo dibuang padang

Dalam aksi pertembungan El Classico malam tadi, Cristiano Ronaldo menyumbatkan gol penuh sensasi sebelum diarah keluar padang kerana dua kesalahan – meraikan jaringan secara provokatif dan sengaja menjatuhkan badan – ketika Real Madrid menundukkan Barcelona 3-1 dalam aksi pertama Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Ronaldo yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol dari luar kotak penalti bagi memberi kelebihan buat juara Liga dan Eropah itu sebelum dilayangkan kad kuning kerana menanggalkan bajunya dan meniru gaya Messi meraikan gol di Santiago Bernabeu pada Clasico terakhir, April lalu.

Dia kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua kerana menjatuhkan badan secara sengaja dalam percubaannya meraih penalti dan bakal terlepas aksi kedua di Berbabeu, Rabu ini. – Mstar Online & Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here