Kempen #UndiRosak dilancarkan di laman sosial sejak 7 Januari lalu tidak menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (Harapan).

Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kempen terbabit hanya menyasarkan kumpulan tertentu yang tidak bersetuju dengan cadangan untuk melantik Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika Harapan memenangi PRU14.

Beliau berkata, kempen itu tidak memberi sebarang kesan kepada Harapan kerana ia bukan gerakan yang begitu dominan hingga boleh mempengaruhi keputusan PRU14.

“Kalau boleh, saya nasihatkan mereka ini (yang menyokong kempen #undirosak) tidak sampai memboikot pilihan raya… setiap undi adalah berharga dan jangan sia-siakan peluang yang ada.

“Ini bukan soal keputusan (pemilihan) lantik Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri semata-mata… ini adalah untuk masa depan negara kita… Kita (Harapan) tawarkan pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan kerajaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Harapan Pahang 2018, di sini, hari ini.

Turut  hadir Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Bersatu negeri, Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok dan Ketua Sekretariat Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Kempen #UndiRosak digerakkan di laman sosial terutama Twitter, tidak bertujuan mempengaruhi kepercayaan pengundi, sebaliknya mahu ‘mendidik’ mereka untuk memberi pengajaran kepada pembangkang.

Perkara tersebut  timbul pada 7 Januari lalu selepas pembangkang menamakan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri jika menang PRU14 ini.

Fokus utama ialah mengajak golongan muda merosakkan undi pada PRU14 akan datang.

Tanpa sebarang organisasi rasmi, aktivis berkempen melalui media sosial milik peribadi untuk mengajak masyarakat merosakkan undi.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata, pemilihan Tun Mahathir dilakukan secara konsensus melalui persetujuan semua pemimpin tertinggi parti yang bergabung.

Jelasnya, pemilihan itu mengambil kira kemampuan beliau dan pengalaman yang dimiliki matan perdana menteri itu.

“Kita sepakat pilih Tun (Mahathir) kerana faktor yang dimiliki beliau… selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Tun (Mahathir) adalah yang paling tepat mengetuai kami.

“Beliau mengetahui banyak benda dan masih mempunyai hubungan baik dengan banyak pihak.

“Kalau ikutkan emosi atau perasan terguris dengan apa berlaku sebelum ini, saya adalah paling terjejas teruk… tapi, kita kena ‘move on’ kerana paling penting adalah masa depan negara ini,” katanya. – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here