Ramai penyokong gerakan boikot atau sengaja merosakkan undi pada pilihan raya umum akan datang bukanlah malas, tak peduli atau tidak berminat dengan politik, cuma tidak berpuas hati dengan tawaran parti politik, lapor The Diplomat.

Laporan itu mengatakan golongan itu sebenarnya sangat berminat dengan politik dan menunjukkan pendapat yang kukuh berkenaan apa yang dimahukan daripada wakil-wakil rakyat mereka melalui komen dalam talian.

Bagaimanapun, mereka dalam dilema kerana “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

Laporan itu berkata, Barisan Nasional (BN) hanya menawarkan keadaan sedia ada diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang mana dakwaan-dakwaan rasuah besar-besaran dibuat terhadapnya.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) pula kelihatan seperti “menggadai prinsip dan membuat taruhan” seorang bekas perdana menteri berusia 92 tahun boleh membantu gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum buat pertama kali dalam sejarah.

Sesetengah pengundi menyokong kempen #UndiRosak di media sosial bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka atas perkara itu.

Laporan itu juga berkata mereka yang merancang memboikot PRU14 tidak boleh dipersalahkan kerana kewujudan PH seolah-olah seperti hanya untuk menyingkirkan BN yang diketuai Umno.

Tambah laporan itu, mengalahkan Umno dan BN seolah-olah matlamat akhir pembangkang, dan bukan sahaja cara memperoleh kuasa.

Kini dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pembangkang, nada pembangkang “semakin berbaur dendam” kerana “satu-satunya matlamat utama Dr Mahathir adalah menjatuhkan Najib”.

PPBM bawah Dr Mahathir adalah satu “lagi parti Melayu pro-Islam yang dianggap sama jenis dengan ahli Umno”, bakal bertanding di kebanyakan kerusi PH di Semenanjung Malaysia. PH juga menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Hasilnya, dorongan progresif DAP dan PKR kini berkurangan. Menurut laporan itu, jika dibandingkan kenyataan-kenyataan tentang dasar pembangkang semasa menghampiri PRU13 dahulu, jelas dasar hari ini tidak lagi sepenting personaliti, “terutama sekali politik personaliti oleh Dr Mahathir”.

Oleh itu, ketidakpuasan hati pengundi dalam pelbagai bentuk termasuklah kempen #UndiRosak bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata laporan itu.

Laporan itu memetik komen aktivis sosial Maryam Lee mengatakan “rakyat tidak akan mengundi sebuah parti hanya kerana mereka marah terhadap orang lain”.

Ia juga mengatakan beberapa ahli politik dan aktivis pembangkang terkenal juga ada memberikan reaksi tidak demokratik dan tidak adil terhadap kempen tersebut, termasuklah mendakwa kempen itu dimulakan penyokong Umno. Laporan itu menyifatkan dakwaan tersebut tidak adil.

Laporan The Diplomat juga berkata usaha menambah baik demokrasi tidak dapat dibantu dengan mempersendakan mereka yang mahu menggunakan hak demokrasi mereka untuk tidak mengundi.

“Memang itu tidak adil kepada pengundi yang berpendapat pembangkang akan membersihkan sistem pilihan raya dan mentadbir kerajaan progresif, tetapi inilah jenis ketidakadilan yang perlu diterima oleh rakyat dalam sebuah negara demokrasi.”

Laporan itu berkata undi rosak cara menunjukkan kepada golongan ahli politik bahawa pengundi tidak berpuas hati dengan tawaran mereka.

“Akhirnya, jumlah keluar mengundi yang rendah sememangnya petanda politik yang tidak sihat, walaupun tidak keluar mengundi tidak sama seperti pergi ke pusat pembuangan undi dan merosak undi. Satu ialah pasif, manakala satu lagi aktif.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here