KUALA LUMPUR 6 Sept. – Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bercanggah dengan Perkara 43 (a) Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri yang menurut pertimbangan Seri Paduka, mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, semua pihak sepatutnya sedar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara ketika ini dipilih secara demokratik oleh rakyat.
“Tiada keperluan untuk meng­adakannya dan saya tidak pasti apa agenda tersembunyi mereka, sama ada Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia (Hakam) atau Bersih.
“Walau bagaimanapun, kita dapat melihat dengan jelas bahawa mereka dan pakatan pembangkang sedang berpakat untuk memperoleh kuasa melalui pintu belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azalina mengulas tentang desa­kan Presiden Hakam, Datuk S. Ambiga supaya sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Ambiga mengemukakan petisyen berhubung usul berkenaan melalui laman-laman web luar negara.
“Tindakan itu bukan langkah yang patriotik bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara,” ujar­nya.
Azalina menambah, kerajaan juga tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan prinsip demokrasi dan mengancam kestabilan negara. – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here