undi berkecuali

Semalam Dewan Rakyat telah meluluskan Bajet 2018 di peringkat dasar dengan 107 daripada 222 Ahli Parlimen menyokong dan 59 menentang manakala 11 Ahli Parlimen mengambil pendirian berkecuali. Semua yang berkecuali ialah Ahli Parlimen dari Parti Islam SeMalaysia (PAS). Apakah sikap PAS dalam berkecuali ini memberikan petanda baru kepada senario politik negara? Ini satu hal yang menarik untuk diteroka.

Pendirian untuk berkecuali jarang untuk kita peroleh dalam suasana Dewan Rakyat yang tegar dengan sistem dua parti sebelum ini. Kita hanya dapat melihat sesuatu usul itu disokong atau ditentang sahaja. Jika ada pun jumlah yang berkecuali, sudah tentu ia tidak begitu besar seperti apa yang dilihat di Dewan Rakyat semalam.

Kita tidak pasti apakah makna di sebalik sikap berkecuali yang dipamerkan PAS ini. Namun ramai yang membacanya sebagai satu isyarat jelas mengenai usaha PAS untuk muncul sebagai kuasa ketiga dalam suasana politik negara. Mengambil jalan tengah dan cuba menilai sesuatu itu berasaskan kepada isu dan bukan kepada pihak mana yang harus disokong.

Namun sesuatu yang mengelirukan ialah pendirian berkecuali ini tidak melihatkan prinsip sebenar PAS terhadap sesuatu isu, malah menyebabkan suara sebenar Ahli Parlimen dari parti ini sukar untuk difahami. PAS sebenarnya perlu segera menyatakan komitmen politiknya dan bukan sekadar bertindak secara sembunyi seperti ini. Menjelaskan pendirian politik bukanlah sesuatu yang salah dan jika PAS memilih untuk bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) ia mungkin membawa petanda positif dari sudut perpaduan Melayu.

Namun tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada PAS atas tindakan memberi undi berkecuali juga menimbulkan seribu satu persoalan. Adakah kerjasama antara PAS dan UMNO kini hanya menunggu masa untuk dilancarkan? Itu tidak ada jawapannya kepada kita, namun tindakan PAS dan kelunakan sikap terhadap BN sudah semakin ketara dan kita mungkin boleh mengharapkan satu kejutan di ambang pilihan raya umum nanti.

Namun Naib Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dalam satu kenyataan susulan memaklumkan PAS mengambil sikap berkecuali dalam pengundian Bajet 2018 peringkat dasar kerana ada perkara yang disokong dan ada perkara yang tidak dipersetujui. PAS juga tidak menolak keseluruhan Bajet 2018 kerana terdapat pelbagai program yang diumumkan Kerajaan jelas membantu rakyat.

Sikap PAS ini dilihat lebih rasional dalam mendepani hujah berkaitan Bajet 2018 berbanding Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) yang menolak Bajet 2018 secara total dan ini seolah-olah memberi isyarat bahawa inti keseluruhan Bajet ini tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Namun, PAS diharapkan lebih berterus-terang tentang soal sikap mereka terhadap politik memandangkan mereka diperlukan sebagai sebahagian daripada pemain utama dalam arena politik Malaysia. Jika PAS memiliki kecenderungan untuk mesra kepada BN, hal itu perlu diumumkan pada masa yang bersesuaian untuk memastikan penguasaan politik yang lebih berkesan dan mengukuhkan PAS di persada politik tanah air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here