DAP akan mengambil tindakan terhadap penyandang DUN Tebing Tinggi Ong Boon Piow kerana mengumumkan pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari sebagai calon Pakatan Harapan (PH) mewakili parti itu di kerusi berkenaan.

Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook berkata, Ong melanggari disiplin parti dan akan dirujuk ke jawatankuasa tatatertib parti untuk tindakan selanjutnya.

“Saya ingin menegaskan bahawa pengumuman tersebut tidak pernah mendapat kebenaran dan mandat daripada setiausaha agung DAP.

“Secara lazimnya, sebarang pengumuman calon Pakatan Harapan daripada DAP hanya boleh diumumkan oleh setiauasaha agung DAP atau pemimpin CEC yang telah diberikan mandat oleh setiausaha agung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 13 April lalu, media melaporkan Ong mengumumkan Aziz calon DAP di DUN Tebing Tinggi pada pilihan raya akan datang.

Pengumuman dibuat di satu ceramah dan Aziz dilaporkan sudah bertemu rakyat setempat bagi mendengar luahan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here