Umno merupakan sebuah parti bersifat inklusif dan sentiasa serius terhadap usaha mencari sentuhan baharu bagi mengemudi kepentingan orang Melayu serta memimpin Malaysia ke arah lebih berjaya, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, sejak kemerdekaan negara  60 tahun lalu, Umno telah membawa pelbagai dasar yang relevan dengan landskap dunia yang semakin mencabar.

Katanya, Umno mendapatkan pandangan semua pihak termasuk bukan ahli parti dalam menyelesaikan permasalahan rakyat di samping menerima cadangan dasar-dasar yang lebih kreatif dan inovatif demi kepentingan bersama.

“Kita tidak perlu apologetik dalam cara kita memimpin negara biarpun kejayaan kita selama ini diremeh dan diperlekeh pihak lain,” katanya ketika berucap menutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di sini, hari ini.

Konvensyen berkenaan diadakan sebagai persediaan dan panduan oleh jurucakap yang akan membahaskan usul sepanjang Perhimpunan Agung Umno bulan depan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, anggota Umno perlu yakin dengan kemampuan kepimpinan parti dan tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang.

Justeru, katanya jentera Umno perlu menerapkan¬† ‘winning mentality’ khususnya pada Perhimpunan Agung Umno Disember ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekali gus memastikan kelangsungan parti itu.

“Inilah masanya orang Umno bangkit dengan semangat yang luar biasa untuk memastikan parti tetap relevan,” katanya.

Katanya jentera parti juga perlu bekerja keras dengan menyampaikan kejayaan yang dicapai kerajaan selain membantu menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata parti komponen juga perlu bangkit bersama Umno dalam menjalankan gerak kerja ke arah mencapai kemenangan pada PRU14.

Katanya, kerjasama antara parti komponen perlu disemarakkan dengan pendekatan di luar kotak bagi menarik sokongan terhadap BN. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here