Perlembagaan UMNO dalam Fasal 3 iaitu Asas dan Tujuan Umno ditubuhkan jelas menyatakan bahawa Umno mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Di bawah perkara 3.2 fasal yang sama, perlembagaan parti terbesar orang Melayu itu juga bertanggungjawab menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta dalam pada masa yang sama menghormati prinsip kebebasan beragama. Maka, dua perkara pokok tersebut jelas tercatat di dalam perlembagaan Umno. Jadinya, di manakah kebenaran dakwaan atau cercaan bahawa Umno itu menolak Islam?

Perjuangan Umno berlandaskan Islam bukanlah perkara baharu kerana ia sudah berlangsung sejak dulu dan akan berterusan sampai bila-bila. Kini, Malaysia semakin dikenali sebagai sebuah negara yang mempamerkan Islam yang progresif, dinamik serta bersederhana yang menjadi contoh di kalangan negara Islam lain di serata dunia. Kerangka Maqasid Al-Syariah yang pertama seumpamanya di dunia telah mula membuahkan hasil dalam mengangkat syiar Islam di Malaysia sewajarnya. Inilah rupa wajah Islam yang menjadi pedoman perjuangan Umno berpuluh tahun lamanya.

Dalam usaha menegakkan syiar Islam, Umno telah membuktikan bahawa parti keramat ini tidak pernah tunduk kepada mana-mana kuasa besar. Lihat sahaja bagaimana Umno berani ke hadapan dalam menyuarakan isu-isu kepentingan umat Islam di pentas arena antarabangsa. Podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi saksi bahawa Umno istiqamah dalam membantu perjuangan saudara seakidah di bumi Palestin, menyuarakan hak asasi kemanusiaan melalui apa yang sedang terjadi dengan nasib pelarian Rohingya serta memberi perlindungan kepada pelarian perang Syria bagi membina kehidupan baru di Malaysia. Tidakkah contoh-contoh perjuangan Umno ini ialah bentuk perjuangan yang dituntut oleh Islam?

Tuduhan sesetengah pihak kononnya Umno tidak mempertahankan Islam sangatlah dangkal dan berfikiran cetek. Umno telah meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan jauh lebih tinggi kedudukannya daripada sekadar agama rasmi. Cuba bayangkan dengan meletak diri kita pada tahun 60-an, tidak terjangkau dek akal fikiran pada masa itu yang satu hari nanti di Malaysia akan adanya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan pengurusan Tabung Haji bagi memudahkan orang Islam di Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima, institusi zakat yang berkaliber, sistem perbankan Islam yang mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa, industri halal yang mengagumkan serta penekanan terhadap pendidikan Islam dari peringkat rendah sehingga ke universiti. Dengan semua ini adakah wajar kita menuduh Umno tidak memperjuangkan Islam?

Tuduhan yang mengatakan Umno tidak Islamik ternyata satu tuduhan melulu yang berniat jahat bagi mereka yang terdesak dan kehabisan modal untuk mengikis keyakinan orang Melayu terhadap Umno. Parti melayu ini perlu terus istiqamah memperjuangkan Islam di dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Sememangya Islam itu perlu ditempatkan di kedudukan paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Umno yang menjunjung Islam sejati pasti akan diperkekalkan oleh Allah perjuangan sampai bila-bila.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here