Kelemahan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang selama 10 tahun antara isu akan diberi perhatian oleh Umno Pulau Pinang pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung di Kuala Lumpur awal bulan ini.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, perkara itu perlu dikongsi dengan perwakilan Umno  seluruh negara untuk dijadikan iktibar daripada pengalaman rakyat Pulau Pinang.

“Kami mahu membawa satu mesej bahawa perubahan kerajaan (di peringkat negeri dan persekutuan) tidak semestinya akan membawa kebaikan kepada rakyat malah boleh menyebabkan kemudaratan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Industri 4.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata, perwakilan Pulau Pinang akan membentangkan isu itu supaya pentadbiran negeri-negeri lain akan mengambil iktibar dengan apa yang terjadi di negeri ini.

Perhimpunan Agung Umno 2017 akan berlangsung pada 5 sehingga 9 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zainal Abidin berkata, beliau mengharapkan perhimpunan itu dapat memberi suntikan semangat baharu kepada semua anggota parti untuk memantap dan memperkuat jentera menghadapi PRU14 dalam memastikan kemenangan BN.

Beliau berkata, Badan Perhubungan Umno negeri memilih tiga jurucakap untuk mewakili Umno Pulau Pinang pada perhimpunan agung iaitu Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said bagi membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Pemuda Umno negeri, Rafizal Abdul Rahim untuk membahaskan usul ekonomi; dan Ketua Pemuda Umno Tasek Gelugor, Nashrol Hisham Abdullah untuk membahaskan usul agama.

“Tiga jurucakap ini akan membawa suara akar umbi bahagian-bahagian Umno Pulau Pinang dengan harapan bahawa para perwakilan ini dapat membakar semangat anggota parti¬† dalam persediaan terakhir menghadapi PRU14,” katanya.

Beliau turut menyeru semua anggota parti untuk terus setia dan jujur pada perjuangan parti yang banyak berjasa kepada mereka.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here