MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti-parti politik kini melipatgandakan usaha bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Pelbagai cara dan pendekatan politik digunakan oleh parti politik walaupun ada antaranya tidak wajar dilakukan.

Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad, melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Abdul Hadi hanya menggunakan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.

Persoalannya, siapa Mahathir untuk melabelkan Abdul Hadi sebagai kafir?

Adakah Mahathir merupakan seorang yang layak untuk berbuat demikian?

Adakah Mahathir ketika bersama UMNO dan menjadi Perdana Menteri tidak pernah bekerjasama dengan PAS?

Mahathir ketika menjadi Presiden UMNO, beliau pernah bekerjasama dengan PAS untuk menyuarakan kesepaduan mengecam penganiayaan Israel terhadap rakyat dan bangsa Palestin. Kerjasama ini ditayangkan secara langsung di kaca televisyen.

Bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 Mei 2002, Mahathir berpidato bersama Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadhil Nor mengutuk kekejaman rejim Zionis dan bersepadu mahu kezaliman itu dihentikan segera.

Kini Mahathir bukan lagi presiden UMNO malah sebaliknya mahu meruntuhkan UMNO.

Namun beliau menggunakan ‘fatwa’ lama kononnya pihak mana bekerjasama dengan UMNO akan turut kafir. Maka sekarang, katanya, Abdul Hadi ‘mengkafirkan’ dirinya sendiri.

Adalah jelas sekali yang memanipulasi hukum Allah ialah Mahathir. Beliau menggunakan apa jua ‘fatwa’ menurut persepsinya boleh menjatuh dan memburukkan lawan sahaja.

Lantas tindakan PAS dan UMNO kini bekerjasama demi kepentingan Islam dan umatnya dalam isu Rohingya dan Palestin, kata Mahathir, sudah menyebabkan kedua-dua parti dan pemimpinnya kafir.

Jika ini bukan manipulasi politik, apakah namanya? Siapakah sebenarnya yang menggunakan agama untuk mengumpul markah politik?

Adakah Mahathir mewujudkan salah faham Amanat Hadi?

Soalnya, adakah benar Abdul Hadi pernah membuat hukuman demikian?

Soal takfir atau mengkafirkan orang lain adalah satu dosa besar. Jika yang dituduh tidak kafir, maka yang menuduhlah kafir.

Nabi SAW mengajar umat Islam berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Al-Ghazali, “Apa yang wajar dihindari adalah perbuatan mengkafirkan orang lain sedaya yang mungkin. Ini kerana perbuatan menghalalkan darah dan harta orang yang solat mengadap kiblat yang secara jelas mengucapkan ‘La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah’ adalah satu kesalahan. Dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup jauh lebih mudah daripada menumpahkan darah seorang Muslim.”

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, dakwaan Mahathir kononnya Amanat Hadi ‘mengkafirkan’ UMNO, adalah tohmah bagi menamam kebencian rakyat serta menjarakkan masyarakat dari PAS.

PAS sudah jauh menapak ke depan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir 2015 bagi menyantuni masyarakat muslim pelbagai peringkat sesuai dengan realiti semasa kefahaman masyarakat tentang Islam.

Mahathir pula mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu.

Pada hakikatnya, intipati Amanat Hadi secara keseluruhannya bercanggah dengan tuduhan Mahathir yang mendakwa ia mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai PAS.

Ucapan Abdul Hadi disalah tafsir apabila diambil secara berkelompok dan bukannya difahami secara keseluruhan.

Mahathir bukan sahaja perlu membuka minda dan memahami Amanat Hadi menurut konteksnya tetapi wajib membuka hati supaya berkata benar dan bukan putar belit hakikat untuk mencapai kemenangan politik semata-mata.

Janganlah umat Islam berpecah disebabkan kafir mengkafir sesama sendiri. Perbuatan ini perlu dielakkan.

Jika hendak mengkafirkan orang sekali pun, lihat pada diri sendiri sama ada layak atau tidak diri sendiri?

Jika tidak layak, jangan membuat dakwaan hanya kerana kepentingan politik diri sendiri.

Akhirnya, yang akan musnah dan menerima kesannya adalah umat Islam itu sendiri.

Adakah perpecahan yang diimpikan oleh umat Islam di negara ini?

Persoalan ini perlu difikirkan oleh rakyat terutama pada PRU-14 akan datang. Jika silap buruk padahnya untuk masa depan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here