Demam bola! Tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Thailand yang dijual pada Isnin kini habis dijual.

Sambutan luar biasa dengan kebanjiran penyokong dari kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam dan Stadium Melawati di Shah Alam sehingga ada yang sanggup ‘berkampung’ sejak 10 malam Ahad, sedangkan kaunter tiket hanya dibuka bermula pukul 11 pagi Isnin.

Ribuan penyokong terpaksa berbaris panjang apabila tiada jualan tiket secara dalam talian seperti sebelum ini.

Namun ramai yang ‘gigit jari’ dan hampa kerana tiket telah habis dijual bak goreng pisang panas selepas lebih dua jam kaunter dibuka.

Difahamkan, Jawatankuasa Pengelola KL2017 (Masoc) sedang bermesyuarat dan angka tiket jualan akan dikemaskinikan dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun histeria kini melanda seluruh negara apabila ramai penyokong masih tidak berhenti berharap untuk mendapat tiket dengan harga ‘sanggup beli berapa saja’.

Ini menyebabkan ‘ulat tiket’ mengambil kesempatan terhadap permintaan luar biasa itu.

Tinjauan mStar Online di laman sosial mendapati, tiket perlawanan akhir itu yang dijual hanya RM21.20 (termasuk GST) melonjak naik sehingga lebih RM200, malah ada yang menetapkan harga bidaan permulaan RM200.

“Saya tahu tiket bola dah habis. Ada sesiapa yang ada lebih? Saya nak empat,” kata seorang netizen.

“Bajet RM30 sekeping tiket. Nak lima, ada sesiapa nak jual?,” kata Muhammad Zulkamal di laman sosial.

“Saya sanggup beli dua tiket harga RM300. Ada yang berminat nak jual,” kata seorang lagi netizen.

Bagaikan sesi bidaan barangan berharga, masing-masing mula membuat tawaran nilai jualan dan belian di laman sosial termasuk aplikasi secara dalam talian.

“Tujuh keping tiket untuk dilepaskan, RM150 sekeping tiket. Kalau rasa mahal cuba pacak kat sini dari pukul 2 pagi. PM (mesej peribadi) saya jika serius nak beli,” kata seorang penjual tiket di Facebook.

“Tawar harga terbaik daripada anda bermula RM200 setiap tiket,” kata seorang penjual sambil menambah dia beratur dari pukul 1 pagi dan hanya dapat membelinya hampir 12 jam menunggu.

Tiket Sukan SEA

Di laman web Mudah.my turut dijual pada harga RM100.

Nampaknya berbaloi usaha kebanyakan penyokong dan ‘penjual segera’ yang sanggup membawa beg tidur malah tikar untuk tidur di perkarangan stadium.

Sementara itu, pengurusan penjualan tiket membuka semula lima kaunter pada pukul 4 petang hari sama untuk menghabiskan 10,000 tiket lagi. Setiap individu yang dibenarkan membeli dua tiket sahaja.

Malaysia mara ke pusingan akhir selepas menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir pada Sabtu malam manakala Thailand turut mara setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Aksi final Malaysia-Thailand dijadualkan pada pukul 8.45 malam Selasa di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia menentang Myanmar akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Selayang pada pukul 4.30 petang hari yang sama. – MStar Online

SHARE
Previous articleEmas Ke-100 Malaysia Dimenangi Oleh Gimnas Amy Kwan
Next articleBerebutkan PAS, PKR Bergolak
Berketurunan Melayu Jawa tetapi tidak boleh berbahasa jawa. Merupakan seorang peminat masakan jawa lebih-lebih lagi tempe dan nasi pecel lele. Juga merupakan peminat tegar kepada pasukan bola sepak Barcelona FC. Visca El Barca!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here