NEW DELHI, 2 Sept – Di antara negara-negara G20, UK muncul sebagai pelabur terbesar di India dengan hasil gabungan melebihi USD$54 bilion, menurut data rasmi terkini.

Di antara tahun 2000 hingga 2015, pelaburan langsung asing (FDI) negara itu ke India adalah sebanyak USD$22 bilion, menyumbang sembilan peratus daripada jumlah FDI.

Secara keseluruhan, di antara 2000-2015, negara-negara G20 melabur sebanyak USD$73.9 bilion di India dengan UK menjadi pelabur G20 tunggal yang terbesar, diikuti oleh Jepun (USD$18.3 bilion), Amerika Syarikat (USD$13.7b), Jerman (USD$7.6b) dan Perancis (USD$4.5b).

Firma-firma UK juga menjadi majikan yang terbesar di India, dengan mengupah seramai 691,000 rakyat India atau 5.5 peratus dalam sektor swasta di antara 2000 dan 2015, kata akhbar, Times of India.

Akhbar itu berkata, sumber bakat India yang besar menjadi punca mengapa 63 peratus daripada syarikat-syarikat British percaya dalam potensi India, manakala 86 peratus daripada mereka tertarik dengan pertumbuhan yang dicatatkan baru-baru ini.

Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa rasmi juga telah banyak membantu, dengan 53 peratus daripada syarikat-syarikat terbabit bergantung kepada penggunaan bahasa tersebut, manakala 40 peratus lagi membuat pelaburan disebabkan kestabilan kerajaan negara itu.

Menurut Majlis Perniagaan UK-India, Maharashtra dan Delhi menarik sebahagian besar FDI dari UK, masing-masing sebanyak 26 peratus dan 20 peratus.

Sektor kimia menerima bahagian pelaburan British yang paling besar di India iaitu sebanyak USD$5.78 bilion, diikuti dengan sektor farmaseutikal sebanyak USD$3.76 bilion dan sektor pemprosesan makanan sebanyak USD$3.06 bilion.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here