Semalam di gelanggang keramat UMNO, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlangsung perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Majlis perasmian ini berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 perwakilan dan apa yang menarik ialah isi ucapan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi benar-benar memberikan makna sebenar perjuangan masa depan UMNO.

Zahid dalam ucapan yang dianggap sebagai yang terbaik pernah diucapkan telah menetapkan tujuh perkara penting yang dijadikan manifesto khas demi membela kelangsungan Melayu dalam tempoh-tempoh yang kian mencabar ini. Melalui ucapan yang bertemakan ‘Lembayung Arjana Bangsa’ ini Zahid begitu bertenaga menggariskan gagasan dan pemikiran untuk UMNO mengadun menjadi strategi kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahu atau tidak dalam pilihan raya akan datang yang dianggap bakal mencetuskan persaingan sengit, UMNO perlu mencapai kemenangan besar dan memperoleh mandat paling kuat bagi membuktikan keperkasaannya menerajui negara. UMNO tidak boleh menanam cita-cita kecil untuk hanya mempertahankan kedudukan semasa. Namun, UMNO perlu berani mengorak langkah melonjakkan diri mencapai kemenangan di kawasan-kawasan yang sukar dijangka. Ini masanya untuk membuktikan kemampuan.

Ucapan Zahid semalam sebenarnya bukanlah retorik politik, tetapi satu idea besar untuk memastikan UMNO mampu menggapai cita-cita yang diharapkan. Perhatian menyeluruh telah diberikan Zahid di dalam ucapannya merangkumi hal ehwal politik, ekonomi maqasid syariah, pengangkasaan pendidikan, keselamatan negara, antarabangsa, raja-raja Melayu dan agama. Pandangan menyeluruh Zahid ini wajar dijadikan asas terpenting kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam merangka manifesto pilihan raya umum kelak.

Tidak ada sebab untuk UMNO tidak berjaya dalam pilihan raya umum nanti jika setiap anggota parti menyerap semangat ucapan berkenaan dan merangka strategi berkesan di pelbagai peringkat. Sokongan rakyat sudah tentu mampu ditarik jika setiap daripada isu ucapan itu dipraktikkan secara wajar dengan mengambil kira pendekatan bersesuaian untuk memperoleh mandat besar nanti.

Cabaran politik semasa semakin hebat dan UMNO bukan lagi berada di kedudukan selesa seperti sebelum ini. Selain menghadapi tentangan pihak pembangkang, percubaan pengkhianat UMNO untuk menjatuhkan parti utama bangsa Melayu ini juga harus diberikan perhatian serius. Justeru, UMNO harus memiliki wajah dan pendekatan lebih segar dalam mendekati pengundi. Kekuatan UMNO kini jelas perlu diperkukuh di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri.

Satu hal paling penting yang ditekankan oleh Zahid dalam ucapannya ialah keperluan UMNO dan BN untuk kembali menguasai Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dengan kemenangan selesan dan mendapat undi melebihi dua pertiga. Ini satu matlamat jelas yang digariskan dan cabaran ini harus dipikul oleh semua ahli UMNO dan bersama-sama bergandingan dengan pemimpin tertinggi untuk memastikan UMNO terus bertapak dan mengukuhkan kedudukan di Malaysia yang tercinta ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here