Erdogan

Bukan mudah untuk mengembalikan kegemilangan Islam dalam negara yang sudah beratus tahun dikuasai sekularisme. Namun itulah yang telah dan masih diusahakan Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki sekarang yang masih dalam mood sambutan ulang tahun pertama percubaan rampasan kuasa yang gagal oleh musuh-musuh politiknya.

Bumi bekas tapak empayar Othmaniah itu sentiasa bergolak sejak regu Erdogan – Abdullah Gul memegang tampuk pemerintahan pada 2003. Pada tahun itu Abdullah Gul, pemimpin Parti Pembangunan dan Keadilan, AKP, yang pernah dipenjarakan itu diangkat sebagai presiden manakala Erdogan sebagai Perdana Menteri selepas AKP menang pilihan raya 2002.

Ramai tidak yakin kerajaan parti itu dapat bertahan lama serta membayangkan tentera akan melancar rampasan kuasa bila -bila masa sahaja.

Namun perkara sebaliknya berlaku. Sejak pasangan ini memegang kuasa pemerintahan, kedua-duanya sepakat mengembalikan sinar Islam di Turki, sinar yang dihapuskan Mustapha Kamal Atartuk bermula tahun 1920an. Sebagai langkah pertama, mereka membenarkan pemakaian tudung bagi kaum wanita, dengan mencontohi isteri masing-masing. Ini diikuti pelajar-pelajar Islam dan penjawat awam.

Bagaimanapun terlalu banyak duri dan onak untuk mengembalikan kegemilangan Islam di Turki. Sebelum kehadiran Erdogan-Abdullah Gul sebagai pemimpin – antara tahun 1960 hingga 1997 – sekurang-kurangnya empat kerajaan yang berunsurkan Islam disingkirkan tentera meskipun selepas memenangi pilihan raya. Pemimpin mereka dipenjarakan, termasuk Abdullah Gul.

Dan pada 15 Julai lalu, Turki merayakan ulang tahun pertama percubaan rampasan kuasa yang gagal yang dilancar musuh-musuh politik Erdogan, yang mungkin juga musuh-musuh Islam yang tidak mahu Erdogan meneruskan usaha penerapan nilai Islam dalam pemerintahannya.

Pada tarikh itu tahun lalu, sekumpulan anggota tentera Turki melancar rampasan kuasa dengan harapan rakyat Turki bebas dari cengkaman pemerintahan Islam Erdogan. Jet-jet pejuang menyerang bangunan parlimen. Kereta-kereta kebal merayap di jalan-jalan raya serta menembak rakyat yang membantah rampasan kuasa mereka.

Sebaliknya rakyat dari semua etnik, parti politik dan budaya yang berbeza telah bersatu mempertahankan kerajaan. Mereka berkumpul di sebatang jambatan bagi menghalang kereta-kereta kebal daripada meneruskan perjalanan ke bangunan parlimen.

Dalam ucapannya pada 15 Julai lalu Erdogan berkata, “semasa menghalang rampasan kuasa ini, 250 orang rakyat kehilangan nyawa dan 2,193 lagi cedera. Kerajaan saya akan terus membawa Fethullah Gulen ke muka pengadilan, serta para pengikutnya yang terbukti berada di belakang rampasan kuasa itu. Ia bukan sahaja penting bagi Turki tetapi juga demokrasi di seluruh dunia.”

Bagaimanapun, apa yang berlaku pada 15 Julai tahun lalu itu sedikit sebanyak meningkatkan populariti Erdogan di kalangan rakyat, di samping mencemarkan popularitinya di kalangan musuh Islam.

Walaupun bagi Erdogan, apa yang dilakukannya sekarang, menyingkirkan sama sekali kesan-kesan pemerintahan diktator dan sekularisme sebelumnya, tetapi bagi tentera yang sudah sekian lama memegang tampuk pemerintahan Turki, tindakan Erdogan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya dianggap menyekat kebebasan rakyat.

Sehinggakan larangan minum arak di khalayak ramai dianggap menyekat kebebasan.

Semasa mula memperkenalkan sekatan minuman keras beberapa tahun lalu, Erdogan terpaksa menggunakan alasan kesihatan, bukan agama.

Duri dalam daging dalam pentadbiran Erdogan adalah Fethullah Gulen, bekas kawan baiknya sendiri yang sekarang tinggal dalam persembunyian di Amerika.

Gulen pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan tetapi dia menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekuatan bagi menentang Erdogan. Meskipun tidak diungkapkan di mana-mana, kemungkinan besar perbuatan Gulen ada kaitan dengan Amerika yang tidak senang melihat percubaan Erdogan menggilap kembali kegemilangan Islam di negaranya.

Gulen dipercayai orang yang bertanggungjawab secara langsung dalam percubaan rampasan kuasa 15 Julai 2016.

Meskipun tentera yang menyokong Erdogan berjaya mematahkan percubaan rampasan kuasa itu, Erdogan tidak mendapat sanjungan daripada negara-negara barat, khususnya Amerika. Sebaliknya negara-negara berkenaan menuduh Erdogan bersikap diktator kerana menahan dan menghukum para pegawai yang terbabit dalam percubaan rampasan kuasa itu.

Amerika bertambah marah apabila Erdogan memecat para pegawai kerajaan yang setia pada Gulen. Amerika malah menawarkan perlindungan kepada para pengikut Gulen. Erdogan kecewa dengan sikap Amerika yang berpura-pura menjadi sahabat baiknya, tetapi melindungi musuh politik yang cuba menjatuhkannya.

Bagaimanapun, harapan Erdogan membawa Turki menyertai Kesatuan Eropah, EU, mungkin terbengkalai berikutan ketegangan dengan Amerika dan barat.

Namun semasa berbaik-baik dengan Amerika sekalipun, harapan untuk menyertai kesatuan itu belum ada kata putus. Amerika berjanji membantu Turki menyertai EU jika Erdogan membenarkan tenteranya menggunakan lapangan terbang Incerlik sebagai tapak Amerika menyerang negara-negara Islam. Namun janji itu masih kabur untuk dilaksanakan.

Harapan itu bertambah tipis apabila Erdogan mahu mengembalikan hukuman mati di Turki. Hukuman itu memang wujud sebelum ini tetapi dihapuskan apabila EU mahu Erdogan menghapuskannya sebagai prasyarat menyertai kesatuan itu.

Meskipun tertekan dengan pelbagai cemuhan barat dan pembangkang, Erdogan menang tipis dalam undi tidak percaya April lalu, di samping mengukuhkan lagi kuasanya selepas menang referendum di parlimen di mana dia sekarang merupakan ketua negara, ketua kerajaan dan ketua parti yang memerintah AKP.

Dia sekarang bersiap untuk menghadapi pilihan raya umum pada November 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here