rohingya

Myanmar membenarkan Turki menghantar bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada penduduk Islam Rohingya di Rakhine, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut jurucakap Presiden, Ibrahim Kalin kerajaan Myanmar telah membenarkan petugas Agensi Penyelaras dan Kerjasama Turki (TIKA) untuk memasuki Rakhine dan mengedarkan 1,000 tan bantuan kemanusiaan.

Kebenaran itu diberikan beberapa jam selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan membuat panggilan telefon terhadap Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, semalam.

Pakej bantuan untuk fasa pertama mengandungi beras, ikan kering dan pakaian akan dihantar menggunakan helikopter tentera bermula Rabu.

Selain itu, Turki juga akan menghantar bekalan perubatan kepada yang memerlukan.

Bantuan kemanusiaan berkenaan dirancang dihantar ke wilayah Maungtaw dan Buthi Taung.

Turki juga akan mengedarkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di kem di Bangladesh.

Kalin berkata, Turki merancang mengagihkan bantuan kepada 100,000 keluarga dengan kerjasama kerajaan Bangladesh dan Myanmar.

TIKA adalah pertubuhan bantuan asing pertama memperolehi kebenaran Myanmar untuk masuk ke rantau itu sejak keganasan meletus pada 25 Ogos lepas, katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here