MENTERI Luar Anifah Aman menegaskan keengganan Malaysia berbincang dengan pihak yang membuat tuntutan ke atas Sabah termasuk di pentas antarabangsa kerana perbuatan itu boleh memberi makna Malaysia mengiktiraf tuntutan mereka.

Sehubungan itu tegasnya Malaysia tidak akan mengiktiraf mahupun melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah oleh mana-mana pihak.

“(Ada pihak persoal) kenapa saya tidak lakukan sesuatu. Kenapa saya tidak adakan perbincangan atau dialog atau apa sahaja atau bawa (isu tuntutan) ke peringkat antarabangsa (berhubung tuntutan ke atas Sabah). Sebenarnya kalau kita mahu berunding dengan mereka, kalau kita mahu berbincang dengan mereka, bermakna kita iktiraf tuntutan dia.

“Justeru, saya beritahu Sabah (negeri) merdeka dalam Malaysia. Ia diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 1963. Jadi memang tidak ada isu untuk dijawab atau dibincangkan. Pendirian kerajaan Malaysia konsisten bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah,” katanya.

Anifah yang juga ahli Parlimen Kimanis, berkata demikian pada  program Perjumpaan Menteri Luar Negeri dengan Media di Kota Kinabalu hari ini sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang di Sabah termasuk ahli parlimen yang mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.

Mengulas lanjut, Anifah menegaskan dalam beberapa perjumpaannya dengan bekas setiausaha luar Filipina, beliau menolak sama sekali untuk berbincang berhubung tuntutan berkenaan dengan pemimpin Filipina itu.

“Saya beritahu beliau, kami tidak iktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah. Muktamad,” katanya.

Pada masa sama, Anifah mempersoalkan tentang pemasaan isu itu dibangkitkan kembali.

“Saya nak tanya pada kalian, adakah ia satu kebetulan perkara ini (tuntutan terhadap Sabah) ditimbulkan kembali ketika musim pilihan raya? Apakah ada pihak yang cuba menghantar mesej kepada kita atau pemimpin tertentu atau sesetengah pemimpin? Atau apakah ini isyarat yang sokongan mungkin ke satu arah? Ini yang agak membimbangkan saya.”

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang turut dijadikan isu oleh pembangkang, Anifah berkata sepatutnya pemimpin dari Sabah yang memperjuangkan hak-hak negeri berkenaan dan sebagai ahli Umno,  beliau berpeluang memperjuangkannya dari dalam parti.

“Saya merasa sangat senang hati dan saya sangat mengenali Perdana Menteri (Najib Razak). Saya rasa senang hati kerana beliau (Najib) berkata ‘mana-mana hak Sabah yang belum dilaksanakan akan dikembalikan kepada rakyat Sabah’,” kata Anifah.

Beliau turut berharap isu hak Sabah akan dikembalikan kepada rakyat Sabah dijadikan antara kandungan manifesto pilihan raya Barisan Nasional kelak.

“Satu-satunya perdana menteri yang memperakui hak Sabah ialah Najib,” kata Anifah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here