Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar bekas musuh politiknya yang kini menjadi sekutu politik beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera dibebaskan daripada penjara.

Bekas perdana menteri itu membuat gesaan berkenaan dalam satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley.

Motley kini berada di Kuala Lumpur dan mengadakan pertemuan dengan Mahathir semalam bagi membincangkan keadaan semasa Anwar yang  dianggap mereka sebagai seorang tahanan politik.

“Kami bersama-sama bersetuju Anwar harus segera dibebaskan dari penjara.

“Anwar adalah tahanan politik dan telah menanggung hukuman penjara lebih daripada 34 bulan.

“Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Menurut mereka, Anwar yang kini berusia 70 tahun merupakan seorang ‘banduan hati nurani’ dan kini memerlukan rawatan kesihatan.

“Beliau kini berada di hospital menjalani rawatan perubatan jangka panjang.

“Beliau dijadualkan dibebaskan pada bulan Jun 2018 dan keadaan kesihatannya sekarang menjadi kebimbangan kepada keluarganya, rakan-rakan dan individu di seluruh dunia,” kata mereka dalam kenyataan petang ini.

Hampir dua dekad lalu, Anwar mendakwa Mahathir mengatur konspirasi politik terhadapnya apabila menuduh bekas timbalannya itu terlibat dalam salah laku seksual.

Mahathir sebaliknya mendakwa Anwar seorang pemimpin yang tidak bermoral untuk memimpin negara.

Anwar bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan liwat dan menjalani hukuman penjara atas dakwaan salahguna kuasa sehingga dibebaskan pada 2004.

Selepas dibebaskan, Anwar sekali lagi dituduh dengan kesalahan liwat kali kedua ketika era pentabdiran Datuk Seri Najib Razak.

Namun bekas ketua pembangkang itu tetap menafikan tuduhan berkenaan dengan menyatakan ia merupakan konspirasi politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here