lawat

Suatu masa dahulu, kedua-dua tokoh ini pernah dianggap sebagai musuh ketat dalam arena politik ketika masing-masing berada dalam kerajaan dan pembangkang.

Siapa sangka selepas puluhan tahun, kedua-duanya berbaik semula dan menjadi rakan akrab, malah kini berada dalam ‘satu kapal’ yang sama.

Itulah hubungan unik yang ditunjukkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas seterunya, Mohamad Sabu yang kini merupakan presiden AMANAH.

Semalam, menerusi Facebook, Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu memuat naik gambar beliau menerima kunjungan bekas perdana menteri itu di rumahnya di Shah Alam.

Kedatangan Mahathir yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah disifatkan Mat Sabu sebagai tetamu istimewa.

Malah, selain Mat Sabu dan keluarganya, kedatangan Mahathir juga disambut jiran-jiran kepada pemimpin AMANAH itu.

Menerusi gambar, Mat Sabu dilihat mengenakan apron berlogokan AMANAH  ketika berada di dapur bagi menyediakan hidangan kepada tetamu istimewa itu.

Dan seperti mana layanan yang diberikan kepada tetamunya yang lain, Mat Sabu memasak sendiri lauk-pauk yang dihidangkan.

“Ada nasi daging kambing, ada salad, ada kambing goreng nampla, gulai ayam, juga ikan masin goreng,” kata Mat Sabu kepada FMT, menceritakan lawatan Dr Mahathir yang pernah menjadi musuh ketat politiknya ketika masing-masing berada dalam Umno dan PAS.

Mat Sabu berkata lawatan Dr Mahathir dan isteri itu dicadangkan kepada beliau oleh Datuk Abdul Malik Mydin, perenang kelahiran Pulau Pinang yang mencatatkan rekod sebagai orang pertama dari Asia Tenggara berenang merentasi Selat Inggeris pada 2003.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here