Budaya politik matang ialah satu cita-cita sempurna dalam bidang ini. Ia satu kesempurnaan yang sukar untuk dicapai, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan. Budaya ini memerlukan perubahan sikap dan pemikiran yang radikal. Bukan lagi berubah dalam corak evolusi, tetapi revolusi, pantas dan berkesan. Namun perubahan ini sukar untuk dilaksanakan dalam ikatan budaya semasa politik negara. Antara hal yang paling sukar disingkirkan ialah ejekan bersifat perkauman dan menyentuh sentimen peribadi seseorang.

Walaupun pembangkang sering melaung-laungkan kaedah politik berubah dan lari daripada stereotaip benih politik sedia ada, namun kadangkala mereka juga tidak terlepas daripada bersikap tidak matang malah kadangkala lebih teruk lagi. Parti pemerintah sering disalahkan sebagai punca kepada segala bentuk ketidakmatangan yang berlaku dalam arena politik tanah air, namun tuduhan seperti ini jelas terlalu melulu di samping tidak menilai sesuatu yang berlaku itu secara lebih tuntas dan teliti.

Hal politik tidak matang ini bukanlah boleh dikenakan kepada organisasi secara menyeluruh, tetapi ia lebih tertumpu kepada sikap individu yang gemar menggunakan isu-isu peribadi sebagai bahan politik yang boleh dijual. Menyebabkan orang ramai ketawa terhadap sesuatu ejekan terhadap pihak lawan merupakan satu kepuasan tahap tinggi yang dicapai oleh seseorang yang jelas tidak matang dalam berpolitik. Usia atau pengalaman dalam politik belum tentu dapat mematangkan seseorang individu atau tokoh politik itu.

Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah menyampaikan ucapan berapi-api dan penuh sindiran terhadap Kerajaan dan parti pemerintah. Tidak ada apa yang salah dalam menyampaikan retorik politik, kerana itu ialah sebahagian daripada kerja-kerja politik yang biasa dilakukan ketika musim pilihan raya semakin hampir. Namun apabila orang sedewasa Tun M menyentuh hal-hal yang terkait dengan kaum dalam ucapannya, itu sudah tentu memberikan gambaran kurang menyenangkan.

Tun M dalam ucapannya ketika perhimpunan antikleptokrasi hujung minggu lalu di Petaling Jaya, Selangor dipetik sebagai berkata,

“Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis, Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis”.

Kata-kata ucapan seperti ini amat pelik untuk dilontarkan oleh seseorang yang ramai menggelarkannya sebagai negarawan. Ucapan seperti mengaitkan bangsa Bugis sebagai lanun adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana bangsa Bugis juga sebahagian daripada penduduk dan warganegara Malaysia. Ini jelas satu ejekan politik yang tidak boleh diterima. Tambahan pula mengambil kira latar pengucapnya merupakan seorang bekas perdana menteri, ini menambahkan kegusaran kita tentang tahap pemikiran pemimpin politik di Malaysia.

Kritikan bukanlah satu hal yang besar, malah politik dan kritikan tidak dapat dipisahkan. Namun mengaitkan seseorang pemimpin dengan hal sesuatu bangsa atau kaum kemudian mengungkapkan kata-kata dengan bangsa atau kaum itu dalam konotasi negatif secara sengaja merupakan satu perbuatan dangkal dan tidak boleh diterima. Amat wajar untuk negarawan seperti Tun M memohon maaf dan menunjukkan contoh yang baik dalam hal seperti ini bagi membolehkan kematangan politik di Malaysia mencapai tahap yang membanggakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here