PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan, mesyuarat agung tahunan PPBM tidak boleh dibuat selagi penyusunan struktur parti itu di peringkat cawangan dan bahagian belum selesai.

Tanpa penyusunan tersebut kata Mahathir, tiada cara untuk menentukan siapa yang layak menghadiri mesyuarat agung berkenaan.

“Parti boleh menunda AGM ke tarikh yang lain. Sudah pasti kita perlu patuh kepada perlembagaan parti.

“Tetapi, pada masa sama, kita perlu nilai juga struktur organisasi parti ketika ini,” jelas Mahathir.

Persoalannya, PPBM sudah lebih setahun ditubuhkan, namun kenapa sehingga kini struktur parti masih belum selesai?

Apa yang dilakukan oleh PPBM dalam tempoh lebih setahun itu?

Sepatutnya, ketika PPBM hendak ditubuhkan, struktur parti itu seharusnya sudah diwujudkan.

Adakah disebabkan kemelut kepimpinan yang berlaku dalam parti itu menyebabkan struktur yang ada perlu diwujudkan semula?

Adakah struktur parti bukan menjadi keutamaan Mahathir dalam PPBM?

Sebenarnya, ia bukanlah se­suatu yang mengejutkan apa­bila semakin ramai pe­mimpin dan ahli PPBM meninggalkan parti itu, sebaliknya ia boleh dianggap satu tindakan yang sudah dijangkakan.

Sejak awal penubuhan lagi, PPBM tidak mempunyai hala tuju. Ia adalah parti serpihan UMNO yang ditubuhkan akibat dendam politik Mahathir yang sekian lama menjadi ‘duri dalam daging’ kepada UMNO.

PPBM bukanlah ditubuhkan atas dasar perjuangan suci untuk bangsa, agama dan negara. Ia diwujudkan mata-mata kerana dendam politik yang disirami api kebencian kepada pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dari semasa ke semasa, perjuangan PPBM semakin bercelaru manakala organisasinya semakin berkecamuk sehingga penggunaan Armada yang merujuk kepada ­Angkatan Bersatu Anak Muda juga diisytiharkan tidak mengikut Perlembagaan parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebelum itu, sebanyak lapan bahagian parti tersebut mendakwa pucuk pimpinan gagal mengadakan mesyuarat agung peringkat bahagian dan cawangan sehingga menyebabkan ahli-ahli tidak mengetahui status kesahihan penjawat jawatan dan kedudukan parti sehingga kini.

Apa yang berlaku membuktikan inilah akibatnya apabila pemimpin-pemimpin utamanya lebih banyak mahu berpolitik sehingga terlupa menjaga hal ehwal parti sendiri.

Ia ibarat bak kata orang dok menyibuk urusan orang lain, rumah tangga sendiri kacau-bilau.

Pemimpin PPBM seperi Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir lebih banyak menghabiskan masa untuk mengkritik dan melemparkan tohmahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sehingga terlupa parti mereka sendiri bagaikan kapal yang hampir tenggelam.

Tetapi ketiga-tiga pemimpin tersebut masih berada dalam sindrom syok sendiri maklumkan kehadiran mereka disambut gembira oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan khususnya DAP yang amat memahami bahawa ia peluang terbaik untuk memperalatkan pengaruh pemimpin-pemimpin PPBM bagi meraih sokongan orang Melayu.

Namun begitu, pendekatan politik pemimpin-pemimpin PPBM tidak menguntungkan parti tersebut.

Mereka terlalu sibuk dengan urusan mahu menyerang kerajaan sehinggakan pemimpin dan ahli-ahlinya berasa muak dan melihat pengorbanan mereka selama ini meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM hanyalah sia-sia.

Oleh itu mereka membuat keputusan meninggalkan PPBM kerana merasakan tiada gunanya menghabiskan masa untuk sebuah parti yang dianggap ‘indah khabar dari rupa’.

Apakah pencapaian PPBM?

Sejak ditubuhkan, tiada apa yang membanggakan apabila orang bercakap soal PPBM selain ‘kejayaan terbesar’ memecahbelahkan orang Melayu dan sekali gus akan memungkinkan kuasa politik Melayu menjadi lemah.

Namun itu tidak menjadi perhitungan Mahathir yang dilihat semakin tidak keruan dalam tindak-tanduk politiknya.

Mahathir lebih selesa dengan politik menyerang kepemimpinan negara, seolah-olah PPBM tidak mempunyai apa-apa masalah dalaman.

Apakah sebenarnya yang diinginkan oleh Mahathir?

Jika dilihat, Mahathir seakan tidak kisah PPBM yang menggunakan lambang Bunga semakin layu akibat krisis dalaman. Apa yang penting bagi Mahathir ialah kehadirannya diterima oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan khususnya DAP.

Oleh sebab itu, Mahathir lebih kerap memuji DAP dalam ucapannya. Kenapa itu semua dilakukannya?

Cadangan menubuhkan PPBM dianggotai oleh masyarakat Melayu dan Bumiputera sahaja dicadangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mahathir dan dihadiri pemimpin DAP yang bukan berbangsa Melayu.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh salah seorang pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman yang menubuhkan parti berkenaan bersama tujuh pemimpin lain.

Jadi, benarlah dakwaan bahawa DAP merestui penubuhan PPBM dalam usaha meningkatkan sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan.

Dalam masa yang sama, Mahathir dapat merealisasikan hasratnya untuk menjatuhkan Najib.

Jadi, Mahathir sebenarnya tidak kisah PPBM dilanda kemelut kepimpinan dan sebagainya. Kerana apa yang penting bagi Mahathir adalah cita-cita politiknya tercapai.

Kalau parti sendiripun kelam kabut macam mana mahu memerintah negara, silap-silap hari bulan Mahathir pun akan dikuasai DAP.

Pada waktu itu, orang Melayu akan tahu apa nasib mereka. Pada masa itu hendak menyesal pun tiada gunanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here