Isu siapa bakal jadi Perdana Menteri jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang merupakan isu hangat dalam kalangan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan sehingga kini masih belum menemui kata putus. Sesuatu yang menghairankan untuk sesebuah gabungan politik membincangkan isu-isu strategik seperti itu di peringkat umum kerana sewajarnya hal seperti calon Perdana Menteri wajar disepakati secara dalaman tanpa membuat apa-apa pengumuman yang boleh meresahkan rakyat.

Baru-baru ini kita dapat melihat bagaimana Tun Dr Mahathir begitu bersungguh-sungguh mengeluarkan kenyataan tentang calon Perdana Menteri dan dilihat ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk beliau muncul kembali sebagai orang nombor satu dalam pentadbiran negara. Semasa sesi pemukiman PH pada awal Disember lalu, gabungan politik berkenaan telah memutuskan untuk melantik Tun M sebagai Perdana Menteri manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Namun reaksi yang diterima dalam kalangan anggota gabungan PH jelas bercampur-campur. Tiada satu suara yang jelas menerima pencalonan berkenaan dan ini menunjukkan terdapat dominasi parti-parti tertentu yang menjadi perancang kepada keputusan berkenaan. Tun M pula dilihat semakin kuat melobi jawatan berkenaan dan cuba mengaitkannya dengan peranan dan kehendak rakyat apabila menyebut beliau bersedia menjadi Perdana Menteri sekali lagi sekiranya rakyat mendesak.

Tetapi persoalan terpenting yang perlu kita tanyakan kepada diri kita sendiri adakah kita begitu terdesak untuk memilih Tun M sebagai Perdana Menteri sekali lagi? Apakah negara ini sudah kehausan calon yang boleh diketengahkan? Apakah tiada wajah segar yang boleh diangkat sebagai pemimpin utama? Ini mungkin satu perancangan di pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk kembali menanam legasi Tun M dalam politik dan pentadbiran Malaysia.

Di sebalik segala kebisingan dan kekecohan berhubung siapa calon Perdana Menteri di pihak PH, seorang tokong yang dipenjarakan dan sebelum ini dilihat sebagai calon terkuat untuk muncul sebagai Perdana Menteri bagi gabungan politik pembangkang itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih membisu dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan jelas berhubung isu ini. Ramai menunggu apakah Anwar bersedia untuk melihat Tun M kembali menaiki takhta atau Anwar juga mempunyai perancangan sedia ada.

Diam Anwar dalam isu ini sudah tentu menimbulkan persoalan besar dan ini juga seolah-olah seperti satu tanda Anwar tidak memutuskan apa-apa lagi. Lebih penting adakah Anwar mahu terus memendam cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dengan ditolak sekali lagi oleh Tun M seperti yang berlaku pada tahun 1998?

Adakah pada tahun 2018, selepas 20 tahun Anwar akan kembali kecewa dan sejarah akan kembali berulang?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here