Saban waktu kita didedahkan dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang berubah-ubah dan amat bertentangan dengan dengan apa yang dituturkannya semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini. Tun M pada hari ini cuba menampilkan karakter lebih sunyi, lebih demokratik malah lebih terbuka berbanding dengan apa yang dibawakan oleh dirinya semasa berkuasa dahulu. Tun M amat terkenal dengan puisi Melayu Mudah Lupa yang diciptanya mengenangkan nasib dan perjalanan hidup kaum Melayu. Namun kini, puisi itu sudah boleh diubah kepada bait-bait rangkap Tun M mudah lupa.

Lihat bagaimana Tun M mendakwa kebebasan media pada hari ini dikongkong Kerajaan, namun kita semua menjadi saksi bagaimana Tun M menggunakan media sepenuhnya untuk mengawal negara dan mendiamkan mulut pembangkang. Pada hari ini, di pentadbiran Kerajaan kini, media semakin bebas dan terbuka, malah pemimpin pembangkang juga sudah mula kelihatan di televisyen dan menyuarakan pandangan. Ini merupakan satu keadaan yang asing semasa zaman pemerintahan Tun M.

Pada hari ini beliau cuba tampil sebagai sosok penyelamat rakyat daripada belenggu kesukaran hidup. Tun M cuba menampilkan dirinya sebagai mampu memberikan semula keselesaan kepada rakyat. Namun apa yang diucapkannya tidak lebih sekadar gula-gula yang cuba menjadi manisan kepada lidah tetapi tidak mengenyangkan perut. Semua janji-janji Tun M itu boleh diibaratkan seperti gula-gula getah yang hanya memberi manis dalam tempoh sementara, tetapi meninggalkan tawar yang tidak ada penghujungnya.

Setiap hari pertentangan prinsip dan cakap-cakap kosong Tun M semakin menjadi-jadi dan setiap daripada apa yang dituturkannya menjadi bukti bagaimana Tun M ialah seorang ahli politik berpaksikan matlamat menghalalkan cara. Beliau tidak bimbang tentang kesilapan percakapan asalkan matlamat yang disasarkan dapat dicapai. Beliau melanggar segala paksi kejujuran demi memburukkan Kerajaan sedia ada dan mempengaruhi rakyat untuk terikut-ikut pandangan politik yang menyusahkan.

Semalam Tun M sekali lagi mengambil kesempatan terhadap apa yang diperjuangan rakyat apabila beliau berjanji jika Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk Kerajaan beliau akan menilai semula Perjanjian Malaysia 1963 demi memberikan manfaat sewajarnya kepada rakyat di Sabah dan di Sarawak. Ini satu lagi janji manis tahap tertinggi yang diberikan Tun M demi mendapatkan undi di kedua-dua negeri berkenaan. Tun M bercakap seolah-olah beliau langsung tidak pernah memegang tampuk kuasa.

Mengapa Tun M sepanjang 22 tahun berkuasa dan mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah dan Sarawak tidak berbuat apa-apa terhadap Perjanjian berkenaan. Malah tidak pernah terlintas di fikiran Tun M sepanjang 22 tahun mentadbir untuk menilai semula Perjanjian berkenaan. Namun hari ini, selepas bersama-sama dengan pembangkang, Tun M tiba-tiba celik tentang isu Sabah dan Sarawak serta berani melontarkan janji demi meraih undi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi.

Inilah dia wajah Tun M kini. Beliau seperti lupa beliau pernah menjadi orang paling lama berkuasa di Malaysia, namun kini setiap hari kita dihidangkan dengan drama Tun M yang berjanji bulan dan bintang untuk melaksanakan segala perubahan yang langsung tidak pernah difikirkannya semasa berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here