Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed ‘hanyalah seorang budak hingusan’ yang belum matang, sindir Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Mahathir Mohamad lantas menolak kritikan timbalan menteri dalam negeri itu.

“Itu pandangannya. Saya tidak peduli apa yang dia cakap. Dia (Nur Jazlan) hanya seorang budak hingusan,” kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Dia baru hendak matang. Terserah pada beliau untuk mentafsirnya,” kata Mahathir ketika menjawab soalan berhubung laporan kenyataan Nur Jazlan bahawa keputusan beliau memulangkan dua pingat dari Istana Selangor dapat dilihat sebagai suatu penghinaan.

Dalam hal berkaitan, mantan perdana menteri turut memperkecilkan tanggapan titah teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap beliau memberi kesan ke atas sokongan BERSATU.

“Jika kamu membaca media sosial, kamu akan tahu apakah kesan itu.

“Saya tidak mahu berkata apa-apa tetapi anda boleh membaca media sosial,” kata beliau.

Pada sidang akhbar selepas pelancaran kit kempen ‘Do It Yourself’ media sosial HARAPAN untuk pilihanraya, Mahathir membidas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki yang berkata negara akan rosak jika beliau kembali menjadi perdana menteri.

“Saya menjadi PM selama 22 tahun bukan kerana diri saya tetapi disebabkan rakyat mengundi saya. Negara ini dibina para pekerja, bukan saya,” tegas Mahathir.

Susulan permukiman HARAPAN bagi persediaan pilihanraya, muncul laporan berita pakatan pembangkang itu mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri dan presiden PKR Datuk Sri Wan Azizah Wan Ismail untuk calon timbalan perdana menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here