Semalam dengan lenggok bahasa penuh sarkastik Tun Dr Mahathir Mohamad menulis dengan niat menyindir individu yang sering melabel beliau sebagai dictator sepanjang tempoh 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun persoalan pertama yang harus kita tanyakan kembali kepada Tun M ialah, siapa sebenarnya individu yang mula-mula melabel beliau sebagai diktator? Sudah tentu bukan orang-orang UMNO atau Barisan Nasional (BN). Ini kerana sepanjang 22 tahun menjadi pemimpin negara, beliau menerima dokongan kuat daripada barisan kepimpinan UMNO dan BN yang ada. Malah semua individu yang diserang beliau hari ini mendokong saat beliau sedang berdepan serangan dan saat beliau dijulang.

Namun semua dokongan itu dilupakan beliau yang kini lebih senang bersama-sama barisan pembangkang yang merupakan kelompok paling awal menggelarkan beliau sebagai diktator, Mahafiraun dan Mahazalim. Tidak pasti mengapa segala tuduhan berkenaan dikembalikan kepada orang-orang yang tidak bersalah dan Tun M seperti menyalahkan UMNO dan BN pula sebagai orang yang menggelarkan beliau dengan gelaran-gelaran seperti itu. Ternyata budaya politik songsang telah membunuh mata hati seorang lelaki yang pernah disanjung sebagai negarawan.

Tun M dalam tulisannya seperti menafirkan dirinya ialah diktator, walhal setiap tindakannya semasa menjadi pemimpin menjurus ke lembah kediktatoran yang jelas. Beiau ialah individu yang sentiasa tidak senang dengan apa yang dirasai oleh individu yang dilihatnya sebagai mempunyai pengaruh. Beliau merasakan kedudukannya terancam bukan sahaja dalam parti malah dalam Kerajaan. Ini bukan satu pembohongan dan kita boleh menyingkap kembali sejarah kepada apa yang terjadi kepada Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain daripada campur tangan dalam politik, Tun M juga menunjukkan belang apabila mencampuri urusan kehakiman negara. Ini merupakan sesuatu yang pelik untuk menafikan kebebasan badan kehakiman yang dijamin sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan. Hanya seorang diktator sahaja yang mahu berbuat demikian. Kita lihat apa terjadi kepada nasib bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas yang menjadi mangsa kepada seorang diktator yang cuba menyucikan diri.

Sepanjang sejarah sebagai Perdana Menteri kita tidak dapat membilang begitu banyak orang yang disumbatkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya semata-mata kerana perbezaan pandangan dalam politik. Malah dalam tulisan di blognya semalam, Tun M seperti mahu mengalihkan kesalahannya kepada penjawat awam yang dilihat sebagai eskapisme paling mudah kepada beliau. Berbeza di zaman pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang jelas tidak ada lagi sebarang penahanan bermotifkan politik. Ini pembaharuan yang sebenarnya merungsingkan Tun M.

Satu lagi ciri-ciri diktator yang jelas ialah iri hati. Sejak pentadbiran beliau diambil alih oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya Dato’ Seri Najib, Tun M sentiasa akan menimbulkan isu dan polemik dan memberikan persepsi negatif kepada semua penggantinya itu. Semua penggantinya perlu mengikut acuannya dan jika tidak, mereka semua akan diserang habis-habisan. Tun M seperti masih merasakan dirinya ialah Perdana Menteri dan bayang-bayang Perdana Menteri itu harus terus mengikutnya dan semua pengganti beliau. Jelas kesakitan sebagai seorang diktator sukar untuk diubati dan ini menyebabkan beliau terus hidup dalam penafian serta hanya mampu melihat kesalahan orang lain dan kesalahan sendiri disorok jauh-jauh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here