Pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara bukanlah solusi dalam membentuk pembangunan negara dalam masa akan datang.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) berkata, apa yang rakyat perlu tumpukan ketika ini adalah mengubah sistem negara dengan lebih baik.

“Kalau mahu ubah, ubahlah sistem negara kita yang pada hari ini dibentuk oleh dasar Dr. Mahathir pada zaman pemerintahannya satu ketika dahulu. Kalau beliau minta maaf pun mungkin tidak berkesan kerana kesan kehancuran sistem negara terlalu besar.

“Perubahan sistem yang sebenar amat diperlukan, ini tidak, kenapa memilih Dr. Mahathir tidak bertanya kepada rakyat terlebih dahulu, jangan bodohkan rakyat dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai salah seorang ahli panel dalam Forum ‘Adakah Mahathir Solusi untuk Malaysia yang Lebih Baik?’ di sini hari ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel adalah penganalisis politik, Nathaniel Tan; bekas Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar; aktivis sosial, Hishamuddin Rais dan Pengarah Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Rais Husin.

Dalam pada itu, aktivis pertubuhan bukan kerajaan Asalkan Bukan UMNO (ABU), Haris Ibrahim menganggap pihak pembangkang tidak mempunyai sebarang masalah jika Dr. Mahathir menyertai Pakatan Harapan tetapi apabila dilantik sebagai calon Perdana Menteri sementara, ia menimbulkan masalah baharu.

“Kalau dibandingkan dengan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dr. Mahathir sudah tentu kalah sebagai pentadbir negara, beliau mempunyai banyak salah laku, kenapa mesti Dr. Mahathir juga, ini tidak masuk akal.

“Kalau rakyat sanggup menerima Dr. Mahathir, Malaysia akan berhadapan dengan masalah yang besar pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here