tun m

Langkawi dan Putrajaya merupakan dua kawasan Parlimen yang dianggap sentiasa menjadi deposit tetap buat Barisan Nasional (BN). Kedua-dua kerusi sukar digugat dan tidak pernah dirampas oleh pembangkang dalam setiap pilihan raya umum. Berdasarkan kepada rekod lalu di tiga pilihan raya umum sebelum ini pada tahun 2004, 2008 dan 2013 BN berjaya mengekalkan penguasaan dengan majoriti yang signifikan di kedua-dua kawasan ini.

Kedua-dua kerusi ini dilihat menjadi kerusi tradisi buat Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Lebih menarik PAS bertanding di Langkawi ada 2004 dan PKR di Putrajaya pada tahun yang sama. Namun kedua-dua parti berkenaan semasa membentuk Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk bertukar kerusi itu dan kini PKR bertanding di Langkawi dan PAS di Putrajaya sejak pilihan raya umum 2008.

Namun begitu, kedua-dua kerusi ini bukanlah ruang menarik untuk kita melihat saingan sengit berlaku. Putrajaya misalnya ramai mengetahui bahawa kawasan ini didiami oleh majoriti penjawat awam dan kebiasannya penjawat awam mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap Kerajaan yang memerintah. Tambahan pula kawasan seperti Putrajaya tidak terkait dengan isu-isu tempatan yang banyak dan pihak pembangkang hanya memberi tumpuan kepada isu-isu nasional.

Suasana di Putrajaya yang tidak begitu tertarik kepada saingan politik membuatkan pengundi di kawasan ini selesa memilih calon BN kerana dilihat lebih stabil. Malah Ahli Parlimen Putrajaya sendiri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk di Putrajaya. Malah khidmat yang ditawarkan beliau dalam menjaga penduduk di kawasan Parlimen ini cukup baik. Berdasarkan kepada keadaan semasa, tidak menjadi masalah untuk Tengku Adnan kekal di kerusi ini.

Begitu juga halnya dengan Langkawi di mana Kerajaan memberikan tumpuan yang baik dalam mengukuhkan pembangunan di kawasan pulau ini. Malah isu-isu setempat juga amat jarang kedengaran kerana Langkawi menjadi sebuah kawasan tumpuan nasional khususnya dari sudut pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan. Penduduk Langkawi juga dilihat selesa untuk mengekalkan keadaan sedia ada kerana pentadbiran kini telah banyak melakukan perkara-perkara positif untuk pembangunan Langkawi.

Namun rasa selesa BN terhadap kedua-dua kawasan ini mungkin sedikit terusik apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temubual dengan portal berita dalam talian telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding sama ada di Langkawi atau di Putrajaya. Lebih menarik apabila kedua-dua kawasan ini mempunyai sentuhan peribadi Tun M sendiri dan sudah tentu ini mampu menjadi faktor perubah kepada corak pengundian rakyat di kawasan-kawasan ini.

Tun M juga dilihat selesa di kedua-dua kawasan ini dan sudah tentu akan berlaku peralihan undi yang signifikan memandangkan faktor Tun M sendiri. Namun mengundi atas dasar peribadi semata-mata bukanlah sesuatu yang positif, rakyat di kedua-dua kawasan ini mungkin akan berbelah bahagi sama ada mahu mengenang Tun M sebagai arkitek pembangunan kedua-dua kawasan ini atau sebuah pentadbiran yang stabil dan berjaya membuktikan keupayaan pentadbiran. Walaupun Tun M dikenang sebagai seseorang yang berjasa di kedua-dua kawasan ini, namun faktor nostalgia tidak wajar dijadikan ukuran dalam memilih wakil rakyat.

Walaupun begitu, persaingan sengit diramal bakal berlaku di kedua-dua kawasan ini dalam pilihan raya umum akan datang jika Tun M diletakkan sebagai calon di salah satu kerusi ini dan BN sudah tentu perlu berusaha keras untuk menyaingi keadaan ini. Tetapi sebelum itu, keputusan meletakkan calon ini harus dibuat secara teliti memandangkan kemungkinan akan berlaku saingan tiga penjuru kerana PAS juga turut mengintai untuk bertanding di kedua-dua kawasan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here